Pelajar terima anugerah IT

Pelajar terima anugerah IT

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Pelajar-pelajar berkeperluan khas yang menyertai Peraduan Cabaran IT Tempatan (LITC) Bagi Pelajar-pelajar Menengah Berkeperluan Khas Senegara 2016 diraikan dan menerima pingat serta sijil mereka dalam majlis yang berlangsung di Bangunan Kementerian Pendidikan, Jalan Lapangan Terbang Lama, Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah serta pingat kepada para pelajar yang diraikan ialah Ketua Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Derus.

Peraduan LITC yang diadakan buat kali pertama itu, disertai oleh seramai 17 orang pelajar dari sembilan buah sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Katok, Sekolah Menengah Lambak Kiri, Sekolah Menengah Menglait, Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajah Mariam (PIHM) Serasa, Sekolah Menengah Rimba, Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, Sekolah Menengah Sayyidina Husain dan Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali.

Ia bermatlamat untuk mengurangkan jurang digital, mempromosikan kemahiran Abad ke-21 serta mengembangkan lagi penyertaan pelajar-pelajar berkeperluan khas dalam pertandingan IT dalam dan luar negara khususnya bagi pelajar-pelajar berkeperluan khas.

Dalam majlis penyampaian pingat dan sijil itu, para pemenang bagi lima kategori yang dipertandingkan, bagi e-Tools Challenge: Microsoft (Ms) Excel, Awang Amir Haziq bin Hafiz Azizi dari Sekolah Menengah Sayyidina Husain di tempat pertama, dan Awang Mohammad Hakim Imanuddin bin Asrawih dari Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar di tempat kedua.

Haji Abdul Rahim bergambar ramai dengan para pelajar yang diraikan pada majlis berkenaan.
Haji Abdul Rahim bergambar ramai dengan para pelajar yang diraikan pada majlis berkenaan.
Haji Abdul Rahim menyampaikan piala kepada pemenang keseluruhan peraduan, Awang Ahmad Fa’ez.
Haji Abdul Rahim menyampaikan piala kepada pemenang keseluruhan peraduan, Awang Ahmad Fa’ez.

Bagi e-Tools Challenge: Ms PowerPoint, tempat pertama ialah Awang Muhammad Azeezul Hakeem bin Yusof dari Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, tempat kedua Awang Ahmad Fa’ez bin Abdul Hadi dari Sekolah Menengah Rimba dan tempat ketiga ialah Awang Umar Alfi bin Abdul Aziz dari Sekolah Menengah Lambak Kiri.

Kategori e-Life Map Challenge pula dijuarai oleh Awang Ahmad Fa’ez bin Abdul Hadi dari Sekolah Menengah Rimba, diikuti tempat kedua oleh Awang Muhammad Hafizuddin bin Haji Mohd Yusuf Thani dari Sekolah Menengah Menglait dan tempat ketiga dimenangi oleh Awang Muhammad Azeezul Hakeem bin Yusof dari Sekolah Menengah Sayyidina Hasan.

Manakala itu, tempat pertama bagi kategori e-Design dimenangi oleh Dayang Murphy Teng dari Sekolah Menengah Sayyidina Husain, tempat kedua ialah Awangku Mohammad Zul Az bin Pengiran Mohammad Tajul Ariffin dari Sekolah Menengah PIHM Serasa dan tempat ketiga ialah Awang Ahmad Fa’ez bin Abdul Hadi dari Sekolah Menengah Rimba.

Bagi e-Creativity pula, tempat pertama ialah Awang Ahmad Fa’ez bin Abdul Hadi dari Sekolah Menengah Rimba diikuti oleh Awang Mohd Hariz bin Haji Hassan dari Sekolah Menengah Sharif Ali di tempat kedua dan Awangku Muhammad Khoiri Shauqi bin Pengiran Haji Johari dari Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar di tempat ketiga.

Pada majlis itu juga, Haji Abdul Rahim turut menyampaikan piala kepada juara keseluruhan bagi peraduan LITC 2016 yang disandang oleh Awang Ahmad Fa’ez dari Sekolah Menengah Rimba.

Dalam temu bual bersama Media Permata, ibu Awang Ahmad Fa’ez, Dayang Edmadinawati binti Haji Ahmad berkata bahawa anaknya itu amat meminati komputer dan menerusi penggunaan komputer, ia dapat membantunya untuk menulis serta membuat nota dalam pelajaran sehariannya.

Peraduan LITC itu diadakan selama empat hari berasingan iaitu bermula pada 16 Jun dan berakhir pada 22 Jun lalu di mana ia disertai oleh seramai 17 orang pelajar yang berusia antara 13 tahun hingga 19 tahun.

Dalam peraduan itu, empat orang peserta terbaik dan yang memenuhi kriteria yang telah ditentukan oleh pihak penganjur akan dipilih untuk mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Peraduan Global IT Challenge for Youths with Disabilities (GITC) di mana bagi 2016, peraduan akan diadakan di Jiangsu, China bermula 21 hingga 25 November nanti.

Peserta Negara Brunei Darussalam menunjukkan prestasi yang baik dalam penyertaan di pertandingan antarabangsa itu, di mana sejak 2013 hingga 2015, seramai 10 orang pelajar berkeperluan khas dari Brunei Darussalam telah terpilih untuk menyertai Pertandingan Global IT Challenge peringkat antarabangsa dan daripada penyertaan itu, para peserta telah berjaya meraih satu pingat emas, enam pingat perak dan tiga pingat gangsa dalam pertandingan yang diadakan di Thailand, Korea Selatan dan Indonesia.

ARTIKEL YANG SAMA