Pelajar tingkat kefahaman mengenai TAP

Pelajar tingkat kefahaman mengenai TAP

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Lebih 24 orang pelajar dari Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Ibu Pejabat Tabung Amanah Pekerja (TAP), di Bangunan Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), di ibu negara, baru-baru ini.

Semasa lawatan itu, rombongan pelajar yang ditemani dua tenaga pengajar sekolah tersebut, berpeluang mendengarkan taklimat mengenai Skim TAP dan Skim Pencen Caruman Tambahan (SCP) di Bilik Sindiket 1 & 2, Tingkat 6, Bangunan PGGMB.

Taklimat berkenaan disampaikan oleh Penolong Pengurus Unit Komunikasi Korporat, Dayang Nur Hamizah @ Nur Atiqah binti Hanipiah yang turut menyentuh mengenai sejarah penubuhan TAP, kadar caruman dan skim pengeluaran serta manfaat skim-skim berkenaan.

Manakala itu, taklimat mengenai sikap membudayakan amalan berjimat cermat dan berbelanja menurut kemampuan, sebagai salah satu usaha ke arah mengatur kewangan melalui perancangan kewangan (financial planning) telah disampaikan oleh Pengurus Kanan TAP, Hajah Raeidyah binti Haji Bujang.

Semasa taklimat, rombongan pelajar juga diberikan peluang untuk bertanyakan soalan bagi perkara yang ingin mereka ketahui semasa sesi soal jawab.

Rombongan pelajar Sekolah Menengah Sufri Bolkiah ketika mendengar sesi taklimat mengenai perancangan kewangan.
Rombongan pelajar Sekolah Menengah Sufri Bolkiah ketika mendengar sesi taklimat mengenai perancangan kewangan.

Antara tujuan lawatan tersebut adalah untuk menambah ilmu pengetahuan para pelajar dalam mata pelajaran Principles of Accounts dan dalam masa yang sama meningkatkan kesedaran serta kefahaman mengenai TAP dan persiapan menempuh alam pekerjaan nanti.

Selepas taklimat, rombongan turut dibawa meninjau cawangan ibu pejabat baru TAP di tingkat bawah Bangunan PGGMB yang menempatkan kaunter-kaunter perkhidmatan TAP.

ARTIKEL YANG SAMA