Pelajar U Florida bunuh pasangan

Pelajar U Florida bunuh pasangan

FORT LAUDERDALE, 17 Ogos – Pelajar Universiti Florida berusia 19 tahun yang tiada rekod jenayah menikam mati satu pasangan secara rambang di luar rumah mereka selain mencederakan jiran mangsa dan menggigit muka mangsa lelaki yang sudah meninggal dunia sebelum anggota polis menangkapnya.

Austin Harrouff, bekas ahli gusti sekolah, mungkin khayal akibat pengambilan dadah ketika menyerang Michelle Mishcon, 53, dan John Stevens, 59, di luar rumah mereka di Tequesta, kata Sherif Wilayah Martin, William Snyder.

Katanya, suspek menyertai keluarganya untuk makan malam di restoran tidak jauh dari situ apabila tiba-tiba keluar kerana marah dengan layanan lambat.

Ibu bapanya yang bimbang dengan tindak tanduk beliau menghubungi polis dan beberapa rakannya dalam usaha mencari Harrouff sebelum serangan itu.

Kira-kira 45 minit kemudian, suspek menyasarkan pasangan itu secara rambang.

“Ia tidak dapat dijelaskan. Antara perkara pertama kami cuba lakukan di lokasi kejadian jenayah adalah cuba memahami motif pesalah, kerana ia dapat membantu kami.

“Dalam kes ini, kami tidak tahu motifnya,” kata Snyder. Katanya, keadaan Harrouff semakin teruk dan mungkin tidak dapat bertahan.

Terdahulu, Snyder berkata, Harrouff mengalami kesan lebam, gigitan anjing, luka dan ditembak dengan pistol pegun ketika berhadapan dengan pihak berkuasa. Beliau kini ditahan di hospital dan belum didakwa secara rasmi. – AP