Pelajar UBD anjur futsal amal esok

Pelajar UBD anjur futsal amal esok

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Julai – Sembilan pelajar Program Jangkauan Komuniti (Community Outreach), Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam (UBD), melalui Program Discovery Year dengan usaha kerjasama bersama Syarikat Hi Tunes Sports Club akan menganjurkan pertandingan futsal amal pada Jumaat ini, bertempat di Kompleks Sukan Universiti Brunei Darussalam.

Acara amal ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pelajar UBD dan Syarikat Hi Tunes SC bagi sama-sama mengumpul dana dan memeriahkan Charity Arts Festival yang akan berlangsung di Taman Permainan Jerudong, selama 3 hari bermula pada 31 Julai sehingga 2 Ogos 2015.

Menerusi acara amal ini, jumlah sumbangan yang akan dikutip menerusi pelbagai acara amal akan disumbangkan kepada beberapa persatuan individu istimewa dan berkeperluan khas. Pada masa yang sama, ia juga merupakan sebahagian daripada usaha kerjasama UBD dan syarikat persendirian dalam sama-sama mempergiat dan memperluas aktiviti-aktiviti kesukarelawanan dalam kalangan ahli di samping memupuk semangat bekerjasama, berpasukan dan saling berkongsi pengetahuan dan pengalaman.

Penyertaan bagi pertandingan ini masih lagi dibukakan bagi orang awam. Untuk mendapatkan keterangan lanjut bolehlah menghubungi Aziz di talian +673 715 1850 atau Haziqah di talian +673 872 9169.

ARTIKEL YANG SAMA