Pelajar UTB berlepas ke Mongolia

Pelajar UTB berlepas ke Mongolia

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Julai – Seorang pelajar Universiti Teknologi Brunei (UTB) semalam berlepas ke Ulanbaatar, Mongolia bagi menyertai persidangan belia dan simulasi politik Sidang Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) sebenar bermula esok hingga 10 Julai.

Dayang Nurhazirah Johari akan mewakili Brunei dan menyertai 150 orang peserta dari 51 buah negara ASEM.

Ketika di sana nanti para peserta akan melawat misi diplomatik negara-negara ASEM, menyertai sesi plenari, kumpulan kerja dan latihan praktikal.

Dalam fasa pertama program berkenaan, fasa sebelum acara secara online telah diadakan yang mana peserta-peserta terpilih menyertai modul latihan dan penyelidikan pra persidangan yang termasuklah tugas individu, latihan, kajian kes dan kerja berpasukan.

Fasa kedua program ialah persidangan, yang mana para peserta akan mengembangkan Kenyataan Pengerusi Model ASEM kali ke-7.

Dayang Nurhazirah bersama ahli keluarga beliau sebelum berlepas ke Mongolia.
Dayang Nurhazirah bersama ahli keluarga beliau sebelum berlepas ke Mongolia.

Dalam fasa ketiga dan terakhir, empat peserta akan menyampaikan Kenyataan Pengerusi Model ASEM kali ke-7 kepada para pemimpin dan pegawai ASEM yang menghadiri ASEM11. Sebilangan pelajar yang menyertai juga akan berpeluang menemui pemimpin negara mereka ketika menghadiri ASEM11.

Menerusi lakon peranan, penyelidikan, kajian kes dan latihan praktikal, para pelajar akan meningkatkan diplomasi mereka, rundingan, membina persetujuan dan kemahiran bercakap dikhalayak ramai.

Menurut kenyataan UTB, Dayang Nurhazirah adalah mahasiswi Kejuruteraan Mekanikal UTB dan juga anggota Majlis Perwakilan Pelajar Universiti, beliau sebelum ini pernah menyertai persidangan dan kejohanan perdebatan seperti Kejohanan Parlimen Britain Borneo di Malaysia, Model UN dalam Persidangan Isu Sejagat BGIC dalam tahun 2009 dan Forum Sempadan AKFF ASEAN-ROK dalam tahun 2014 di Seoul, Korea.

Dayang Nurhazirah juga pernah mewakili Brunei Darussalam dalam banyak program pertukaran seperti TSS Total Summer School di Paris pada Julai 2014, dan Jenesys 2.0 Jepun pada Julai 2013.

ARTIKEL YANG SAMA