Pelajar UTB cipta platform untuk pencari kerja

Pelajar UTB cipta platform untuk pencari kerja

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Lahir daripada idea dan hasrat untuk membantu rakan-rakan seperjuangan untuk mencari tempat yang bersesuaian bagi melakukan penempatan kerja masing-masing, sekumpulan penuntut dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) berjaya untuk menghasilkan sebuah platform atau laman sesawang dalam talian (online) yang menyediakan sebuah pasaran digital bagi bukan sahaja tempat penempatan kerja tetapi juga pasaran bagi tawaran kerja untuk pencari kerja sepenuh masa, separuh masa dan kerja bebas di Brunei.

Laman sesawang, tag-a-field.com yang turut merangkumi peta lokasi itu, membolehkan para calon iaitu pencari kerja dan pekerja bebas untuk mengenal pasti lokasi di mana tawaran kerja itu ditawarkan sebelum mereka membuat keputusan atau memilih untuk memohon kerja berkenaan.

Ia merupakan hasil kerja yang wujud daripada sinergi yang baik di antara dua perusahaan baru iaitu Fieldclick Enterprise dan TagLandMark Enterprise, yang bergabung bagi menghasilkan sebuah program alam maya yang unik di mana perusahaan itu dilaksanakan oleh sekumpulan penuntut Tahun 3 jurusan Perniagaan dan Komputer, UTB yang juga akan menamatkan penempatan kerja mereka.

Pengarah Urusan FieldClick Enterprise, Dayang Zuhairah binti Haji Mohd Taha dalam temu bual bersama Media Permata di iCentre, baru-baru ini, berkata laman sesawang itu telah dipamerkan di beberapa jerayawara yang disertai oleh mereka dan hasil maklum balas adalah amat positif di mana sebilang besar majikan, perusahaan dan institusi pengajian tinggi termasuk pencari kerja amat tertarik de-ngan potensi yang ditunjukkan oleh laman sesawang itu.

Sementara itu, Ketua Strategi FieldClick Enterprise, Awang Aiman bin Haji Minorhadi berkata pada permulaannya, mereka ingin untuk membina sebuah platform digital yang dapat membantu penuntut-penuntut UTB untuk mencari kerja yang sesuai bagi penempatan kerja mereka kerana sering kali adalah amat sukar bagi mereka untuk mencari kerja yang bersesuaian bagi jurusan masing-masing.

Sinergi yang baik di antara dua buah perusahaan yang diterajui oleh kumpulan usahawan muda berkenaan berjaya menghasilkan produk unik, tag-a-field.com.
Sinergi yang baik di antara dua buah perusahaan yang diterajui oleh kumpulan usahawan muda berkenaan berjaya menghasilkan produk unik, tag-a-field.com.

Ketua Pegawai Eksekutif TagLandmark, Awang Afiq Mohammad dan penghasil laman sesawang dari TagLandmark, Awang Haziq Omar berkata kerjasama kedua-dua buah perusahaan yang berbeza itu dalam menghasilkan platform berkenaan menunjukkan sinergi yang baik yang wujud di antara kedua buah perusahaan berkenaan di mana mereka sama-sama mempunyai misi yang sama iaitu untuk menghasilkan penyelesaian perniagaan yang dapat membantu mencapai matlamat mereka dan menjadi satu inspirasi ke arah pembangunan budaya keusahawanan yang berjaya.

Mereka yang berminat boleh mendaftar secara percuma di www.tag-a-field.com dan bagi mereka yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh menghantar e-mel ke info@tag-a-field.com.

 

ARTIKEL YANG SAMA