Pelajari alam sekitar negara

Pelajari alam sekitar negara

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SM YSHHB) buat julung-julung kalinya menyertai Program Pendidikan Alam Sekitar Pusat Kajian Luar Kuala Belalong iaitu program di bawah kelolaan Universiti Brunei Darussalam, bertempat di Pusat Kajian Luar Kuala Belalong (KBFSC), bermula hari ini sehingga 20 Mac.

Program berkenaan disertai seramai 14 orang iaitu 11 orang pelajar (tujuh lelaki dan empat perempuan) kelas Sains Tahun 9 dan Tahun 10, serta tiga orang guru pengawas.

Program berkenaan menyediakan aktiviti-aktiviti yang menekankan kaji selidik secara aktif dan pembelajaran melalui pengalaman. Program ini akan dicapai melalui aktiviti-aktiviti seperti ‘nature walks’, ‘fieldworks’, aktiviti ‘hands-on’, perbincangan dan pembentangan kaji selidik.

Selain itu, program ini juga menyediakan aktiviti-aktiviti luar yang bersifat kondusif bagi menarik minat pelajar-pelajar dan dalam masa yang sama memupuk sifat kepimpinan dan kerjasama dalam diri pelajar.

Turut mengiringi mereka berlepas di Jeti Jalan Residency, di ibu negara ialah Pengetua SM YSHHB, Chong Li Chen, Guru Kanan SM YSHHB, Haji Samsul Muawan bin Haji Sodiq, dan penyelia-penyelia KBFSC/IBER, Hajah Roshanizah binti Haji Rosli dan Dayang Siti Rafhiah binti Abdul Kahar.

Pengetua dan guru kanan SMYSHHB, penyelia-penyelia KBFSC/IBER, guru-guru pengawas, serta para pelajar bergambar ramai sebelum berlepas ke Daerah Temburong.
Pengetua dan guru kanan SMYSHHB, penyelia-penyelia KBFSC/IBER, guru-guru pengawas, serta para pelajar bergambar ramai sebelum berlepas ke Daerah Temburong.

KBFSC, Universiti Brunei Darussalam yang terletak jauh di dalam hutan yang terpelihara itu merupakan kemudahan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk para pengkaji melakukan penyelidikan dan pengajaran mengenai hutan hujan tropika.

KBFSC juga menawarkan kursus-kursus penyelidikan pendek yang sesuai bagi para pelajar sekolah menengah.

Tujuan program tersebut diadakan ialah bagi mewujudkan peluang kepada para pelajar untuk merasakan sendiri pengalaman tentang alam semula jadi di negara ini. Selain memberikan pengetahuan tentang sejarah alam semula jadi dan biodiversiti hutan-hujan tropika Brunei, serta untuk memahami betapa pentingnya hutan tersebut dan nilai-nilai pemuliharaannya.

Awang Muhd Aminin bin Azlan, pelajar Tahun 10 dalam temu bual sebelum berlepas ke Temburong berkata, beliau berharap untuk mempelajari hutan-hutan dan haiwan-haiwan yang berada di Kuala Belalong, Temburong.