Pelajari cara penyembelihan betul

Pelajari cara penyembelihan betul

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Lebih 40 orang dalam kalangan belia masjid dan ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Zon II menghadiri Bengkel Penyembelihan mengikut Hukum Syari’e anjuran AJK Takmir Masjid Kampung Salambigar dan Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei-Muara yang diadakan di Masjid Kampung Salambigar, hari ini, di sini.

Bengkel kali kedua dianjurkan oleh masjid berkenaan itu adalah dengan kerjasama Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah.

Ketua Imam Masjid Kampung Salambigar, Imam Haji Abdul Halim bin Haji Bungsu semasa di temui menjelaskan, bengkel sehari ini memberi peluang kepada para belia dan takmir serta jemaah masjid sekitar Zon II untuk mengetahui dengan lebih terperinci mengenai hukum dan tatatertib cara penyembelihan binatang.

Menurutnya, kebanyakan yang melakukan kerja penyembelihan ini bukan dalam kalangan warga tempatan dan dengan adanya bengkel ini, peserta dapat melihat dan mengetahui cara penyembelihan yang betul mengikut hukum syari’e, bukan saja mengetahui cara penyembelihan tapi mengetahui hukum penyembelihan.

Beliau seterusnya menambah, bengkel seumpama ini akan diadakan di masa akan datang dengan melihat kesesuaian masa dalam usaha memberi pendedahan kepada generasi muda akan tatatertib cara penyembelihan mengikut hukum syari’e.

Peserta bengkel mencuba sendiri menyembelih seekor ayam.
Peserta bengkel mencuba sendiri menyembelih seekor ayam.
Pegawai Bahagian Kawalan Makanan Halal menunjukkan cara-cara penyembelihan yang mengikut hukum syarak.
Pegawai Bahagian Kawalan Makanan Halal menunjukkan cara-cara penyembelihan yang mengikut hukum syarak.

Sementara itu, dalam ceramah yang disampaikan oleh Pegawai Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah pada bengkel itu menyentuh mengenai rukun dan syarat penyembelihan di samping memastikan pisau dan alat yang digunakan dicuci dengan air bersih sebelum digunakan untuk penyembelihan seterusnya.

Di samping itu, perkara yang disunatkan dalam penyembelihan termasuk menutup aurat semasa penyembelihan juga ditekankan.

Beliau kemudian menjelaskan kesalahan yang sering berlaku disebabkan kurang memahami cara dan syarat rukun penyembelihan tapi jika sudah memahami rukun penyembelihan dan tekniknya, Insya Allah lama-kelamaan tidak akan menimbulkan masalah kepada mereka.

Beliau seterusnya menambah, cara memutuskan urat marih dan halkum itu ialah dengan disembelih mengikut hukum syarak iaitu wajib putus urat marih dan halkum dan jika tidak putus maka ia dikira bangkai.

Dalam temu bual dengan dua peserta bengkel iaitu Awang Mahfuuz Anas Deephai bin Haji Ahmad, 16, dan Awangku Haji Mohd Faris bin Pengiran Haji Rusman, 22, masing-masing mewakili belia Masjid Setia Ali Muara, melahirkan perasaan teruja mengikut bengkel walaupun ini kali kedua mereka mengikuti bengkel seumpamanya.

Awang Mahfuuz Anas Deephai semasa ditemui berkata, “Dengan adanya bengkel ini ia memberi peluang untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi akan tatatertib dan hukum semasa melakukan penyembelihan”.

Manakala Awangku Haji Mohd Faris pula menjelaskan, walaupun ini penyertaan kali kedua dalam bengkel seumpama ini yang mana kali pertama pada tahun 2015, ia dapat menambah ilmu dan mengetahui dengan lebih terperinci cara penyembelihan binatang.

“Dengan adanya bengkel ini, ia dapat mempelajari cara-cara penyembelihan, rukun dan apa yang sunat dilakukan ketika menyembelih selain melihat cara penyembelihan memutuskan ‘halkum’ dan urat ‘marih’,” tambahnya.

Beliau seterusnya berharap akan menyertai lagi bengkel seumpama ini untuk lebih mendalami lagi hukum penyembelihan binatang mengikut hukum syarie seterusnya akan mencuba menyembelih sendiri.

Pada bengkel itu, para peserta juga berpeluang membuat praktikal cara penyembelihan binatang dengan bimbingan pegawai Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah.

ARTIKEL YANG SAMA