Pelajari pembuatan kikik

Pelajari pembuatan kikik

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mac – Sebagai sebahagian daripada aktiviti yang dianjurkan sempena cuti penggal pertama persekolahan, Fun Bee Park telah membawa kanak-kanak berhibur dan menyertai aktiviti pembelajaran luar bilik darjah di Pantai Tungku, baru-baru ini.

Menurut kenyataan Fun Bee Park, pada acara singkat itu, mereka telah menjemput pakar kikik, Haji Besar bin Haji Bungsu dan pasukannya untuk mengadakan kelas membuat dan melayangkan kikik. Haji Besar dan pasukannya telah menyediakan bahan-bahan yang diperlukan seperti rangka buluh, kertas berwarna yang ringan dan tali.

Haji Ali dipetik sebagai berkata, aktiviti pembuatan kikik masih hidup di Brunei dan beliau menyatakan hasrat untuk lebih aktif mempromosikan aktiviti waktu lapang yang menjadi kegemaran pada suatu ketika dahulu dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong di Brunei.

Kanak-kanak dari Fun Bee Park mempamerkan rangka kikik yang telah mereka hasilkan.
Kanak-kanak dari Fun Bee Park mempamerkan rangka kikik yang telah mereka hasilkan.
Haji Besar mengajarkan cara-cara pembuatan kikik.
Haji Besar mengajarkan cara-cara pembuatan kikik.

Dalam aktiviti berkenaan, Haji Besar dan rakannya menunjukkan asas membuat kikik dengan menyambung buluh untuk membentuk rangkanya, kemudian melekatkan kertas berwarna pada rangka bulu berkenaan menggunakan gam dan akhir sekali memasang tali yang cukup kuat untuk melayangkan kikik berkenaan.

Selepas berusaha membuat kikik, kanak-kanak berkenaan kemudian duduk berkelah bersama tenaga pengajar Fun Bee Park dan pakar-pakar kikik.

Salah seorang guru Fun Bee Park, Awang Syaifuddin berkata, melayangkan kikik di tepi pantau membawa senyuman kepada setiap kanak-kanak, malah ia membawa kembali kenangan zaman kanak-kanak apabila permainan dibuat sendiri, mudah dan tidak mahal.

Mereka mengakhiri lawatan dengan membawa pulang kikik mereka, beg kudap-kudapan dan sijil bagi memperingati lawatan mereka bersama Fun Bee Park.

ARTIKEL YANG SAMA