Pelajari warisan kitani secara interaktif

Pelajari warisan kitani secara interaktif

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Okt – ‘Bersiuk-siuk Dengan Warisan Kitani’ memberi peluang kepada orang ramai untuk mengetahui tentang warisan negara menerusi aktiviti-aktiviti interaktif yang menyeronokkan.

Acara sehari anjuran Brunei Patriots, terdiri daripada penuntut yang menjalani latihan penempatan di Jabatan Muzium-muzium itu berlangsung di dalam kawasan Muzium Teknologi Melayu dan Muzium Maritim Brunei Darussalam, di sini hari ini.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Muzium-muzium, Hajah Fatimah binti Haji Aji.

Tujuan utama acara ini adalah untuk memenuhi latihan program penempatan yang telah mensyaratkan supaya menarik minat belia-belia untuk melawat dan mengetahui warisan negara kitani.

Antara aktiviti yang disediakan termasuk permainan tradisi Brunei iaitu ‘Pasang’, ‘Congkak’, ‘Tilu-Tilan’, ‘Buah Lapas-Lapas’, ‘Salok-Salokan’, ‘Simban’, ‘Tempurung Laki’, ‘ Kayu Tiga’ dan ‘ Lumpat Gatah’.

Hajah Fatimah memotong reben sebagai merasmikan program ‘Bersiuk-siuk Dengan Warisan Kitani.’
Hajah Fatimah memotong reben sebagai merasmikan program ‘Bersiuk-siuk Dengan Warisan Kitani.’
Makanan tradisi ulat rumbia dijual 10 ekor $5.
Makanan tradisi ulat rumbia dijual 10 ekor $5.

Di samping itu, orang ramai juga berkesempatan untuk memakai pakaian etnik Dusun, Tutong dan Kedayan. Selain itu, aktiviti sampingan seperti jualan makanan dan minuman, pakaian, permainan dan lain-lain juga diadakan untuk memeriahkan lagi suasana.

Awang Ashley Vivian bin Gimbar selaku pengerusi majlis berkata, acara yang diadakan adalah sebahagian daripada program latihan penempatan selaku penempatan kerja di Jabatan Muzium-muzium, khususnya di Bahagian Media dan Pendidikan.

Beliau juga berkata, antara lain tujuan acara ini diadakan adalah sebagai cara untuk mempromosi budaya orang Brunei dan juga memeriahkan lagi kawasan kompleks muzium yang penuh dengan sejarah dan warisan.

“Kami telah memproleh ilmu yang amat bermanfaat seperti bagaimana berurusan dengan pihak kerajaan, institusi dan pihak individu melalui mengendalikan acara ini, apa yang dipelajari di sekolah secara teori dapat dipraktikkan,” tambah beliau.

ARTIKEL YANG SAMA