Pelakon Tony Eusoff didakwa di mahkamah S’pura miliki dadah

Pelakon Tony Eusoff didakwa di mahkamah S’pura miliki dadah

SINGAPURA, 1 April – Pelakon Malaysia, Tony Eusoff (gambar), diheret ke mahkamah di sini semalam atas tuduhan memiliki dadah.

Menurut kertas pertuduhan, Tony, 38 tahun, atau nama sebenarnya Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman, didakwa memiliki dadah terkawal Kelas A di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Dia didakwa memiliki satu paket yang mengandungi tidak kurang daripada 4.56 gram cebisan bahan sayuran yang dianalisis dan didapati mengandungi campuran ganja.

Dia didakwa memiliki dadah itu semasa di dewan ketibaan bas Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 12 Mac lalu.

Akhbar Berita Harian edisi online melaporkan, pelakon kelahiran Sarawak itu berada di Singapura bagi menjalani penggambaran drama The Hush terbitan Weiyu Films, yang difahamkan bakal ditayangkan mulai bulan depan.

pg13_160402_b

Malah, dia juga telah memuat naik gambar yang dipercayai diambil semasa di lokasi penggambaran di Instagram beberapa hari lalu.

Tony pernah memainkan watak utama sebagai Tan Sri P. Ramlee dalam muzikal P. Ramlee The Musical dan memainkan watak seniman itu sekali lagi dalam biopik yang dibahagikan kepada dua bahagian – Saloma: Mencuri Guruh dan Saloma: Pandang Kaseh.

Selain itu, Tony juga pernah berlakon dalam pelbagai filem di seberang Tambak termasuk Cinta, Akhirat, Sepi dan Susuk.

Pelakon yang mempunyai kelulusan ijazah dalam bidang seni bina itu juga pernah menjayakan muzikal La Cage Aux Folles terbitan Wild Rice di sini empat tahun lalu.

Dadah Kelas A disifatkan sebagai dadah paling berbahaya dan menagihkan.

Jika sabit kesalahan, Tony boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga $20,000 atau kedua-duanya sekali.

Kesnya akan didengar lagi di Mahkamah Negara pada 12 April.

ARTIKEL YANG SAMA