Pelan Colombo Baru dilancar di Brunei

Pelan Colombo Baru dilancar di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei, Tuan Yang Terutama Todd Mercer melancarkan Inisiatif Pelan Colombo Baru (NCP) Kerajaan Australia di Brunei serta meraikan wakil-wakil kerajaan Brunei, misi-misi diplomatik, institusi-institusi pendidikan, pemimpin-pemimpin perniagaan serta pelajar-pelajar dalam satu majlis yang berlangsung di kediamannya di sini, malam ini.

Pelancaran tersebut adalah bersempena dengan ketibaan lapan pelajar dari Universiti Flinders, Adelaide yang menyertai penempatan selama tiga minggu bersama Persatuan Rakan Kerjasama Autisme tempatan, SMARTER Brunei di bawah geran Program Mobiliti NCP.

Lapan orang pelajar bersama dua kakitangan dari Unit Kehilangan Upaya dan Pemasukan Komuniti Universiti Flinders tiba di sini, Sabtu lalu.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Australia di sini, semasa berada di sini, pelajar Australia itu akan mempelajari metodologi rawatan inovatif SMARTER dan bekerjasama rapat dengan ahli terapi dan pakar SMARTER daripada kerajaan Brunei di pusat rawatan SMARTER di seluruh negara.

Program mereka akan berakhir dengan Persidangan Negara Brunei VII mengenai Autisme dari 9 hingga 11 Oktober di Bandar Seri Begawan.

TYT Todd Mercer ketika menyampaikan ucapan.
TYT Todd Mercer ketika menyampaikan ucapan.
Lapan pelajar Universiti Flinders yang akan menyertai penempatan selama tiga minggu bersama SMARTER Brunei.
Lapan pelajar Universiti Flinders yang akan menyertai penempatan selama tiga minggu bersama SMARTER Brunei.

Kenyataan itu berkata, persidangan tiga hari itu akan memaparkan hasil dapatan peserta dan penyampaian kertas pembentangan daripada peserta Brunei, Australia, Filipina dan pakar serantau termasuk Pensyarah Pendidikan Kehilangan Upaya dan Pembangunan Universiti Flinders, Debbie Smith dan Charmaine Mahar; Doktor Pendidikan dan Pengerusi Jabatan Pendidikan Khas, Kolej Perpetual Help Rizal dan Kolej St Joseph; Aida Damian dan anggota pengasas Autisme Tasmania Rose Clark. Pelajar SMARTER juga berpeluang berkongsi bakat autisme mereka menerusi persembahan muzikal pada satu majlis makan malam gala pada 10 Oktober.

TYT Todd Mercer berkata, Suruhanjaya Tinggi berasa gembira untuk mengalu-alukan pelajar Australia berkenaan ke Brunei atas kerjasama hebat ini.

“Mereka akan pulang ke Australia bukan sahaja dengan kepakaran baru dalam bidang mereka, tetapi juga wawasan dan pemahaman bernilai mengenai Brunei dan persahabatan baru yang akan berkekalan seumur hidup.”

Smith, yang akan memimpin Kumpulan Flinders sepanjang program berkata, ”Kami berasa amat gembira untuk datang ke Brunei untuk bekerjasama dengan SMARTER, yang menyediakan program berkualiti tinggi untuk individu yang hidup bersama autisme dan keluarga mereka.

“Kami baru sahaja mendapatkan pembiayaan untuk program ini bagi tempoh tiga tahun lagi, maka ia akan menjadi langkah permulaan kepada kerjasama berterusan untuk Universiti Flinders dan Brunei Darussalam.”

Sementara itu Pengasas dan Presiden SMARTER Brunei, Malai Haji Abdullah Haji Malai Othman pula berkata, beliau amat bersyukur kerana diiktiraf oleh kerajaan Australia dan diberi peluang untuk bekerjasama sekali lagi dengan Universiti Flinders menerusi Pelan Colombo Baru.

“Kami berharap ia akan menjadi kerjasama jangka panjang dan pengalaman pembelajaran seimbang yang akan memanfaatkan semua orang.

“Program yang telah kami sediakan ketika penempatan kerja mereka dan Persidangan Nasional Brunei VII mengenai Autisme akan datang adalah holistik, termasuk semua mereka yang berkepentingan dalam komuniti. Ia akan menumpukan kepada penyemaian benih yang akan berkembang menjadi T.R.E.E.S Pengetahuan yakni bertukar-tukar pengetahuan dalam bidang teknikal, sumber, kepakaran, pengalaman dan strategi.”

Pelan Colombo Baru adalah inisiatif cemerlang kerajaan Australia untuk mempertingkat pengetahuan Indo-Pasifik dengan membantu pelajar siswa Australia untuk belajar dan menjalani latihan di rantau.

Projek mobiliti adalah terbuka kepada pelajar daripada mana-mana disiplin, dan berkisar daripada kunjungan pembelajaran jangka pendek kepada pembelajaran dan latihan amali berdasarkan semester.

Pelan Colombo Baru juga termasuk satu program biasiswa yang akan membantu kira-kira 100 pelajar pada 2016. Buat masa sekarang, seorang pelajar, Alana Tolman, sedang belajar di Universiti Brunei Darussalam di bawah program biasiswa NCP.

ARTIKEL YANG SAMA