Pelan ekonomi China tingkat produktiviti

Pelan ekonomi China tingkat produktiviti

BEIJING, 23 Dis (Bernama) – Mungkin terdapat berita baik bagi rantau Asia susulan pengumuman pelan tindakan ekonomi China untuk tahun depan, yang akan memberi kestabilan kepada pasaran global.

Asia sering melihat China sebagai destinasi eksport utama, dan pelan ekonomi itu bukan hanya memberi manfaat kepada rakyatnya tetapi juga rantau ini secara keseluruhannya.

China merupakan rakan dagang Malaysia paling kukuh, dan perdagangan Malaysia dengan China naik 11.6 peratus kepada RM189.37 bilion dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Eksport meningkat 11.3 peratus kepada RM83.42 bilion manakala import naik 11.9 peratus kepada RM105.95 bilion, disebabkan eksport yang tinggi daripada produk petroleum, bijih logam, produk elektronik serta produk kimia dan bahan kimia.

Kedua-dua negara komited untuk meningkatkan perdagangan dua hala kepada AS$160 bilion menjelang 2017.

Seorang pekerja mengatur barangan kemas di kaunter kedai emas Wuhan, wilayah Hubei, China dalam gambar fail 25 Ogos 2011. Pada Persidangan Kerja Ekonomi Pusat baru-baru ini, China mengumumkan strategi menyeluruh untuk menerajui peralihan ekonomi yang sedang dilaksanakan dan tumpuan pada tahun depan. – Reuters
Seorang pekerja mengatur barangan kemas di kaunter kedai emas Wuhan, wilayah Hubei, China dalam gambar fail 25 Ogos 2011. Pada Persidangan Kerja Ekonomi Pusat baru-baru ini, China mengumumkan strategi menyeluruh untuk menerajui peralihan ekonomi yang sedang dilaksanakan dan tumpuan pada tahun depan. – Reuters

Pada Persidangan Kerja Ekonomi Pusat baru-baru ini, China mengumumkan strategi menyeluruh untuk menerajui peralihan ekonomi yang sedang dilaksanakan dan tumpuan pada tahun depan akan diberikan kepada pembaharuan dari segi penawaran, atau pakej dasar penawaran untuk mengeluarkan permintaan baharu dan meningkatkan produktiviti baharu.

Xinhua News Agency berkata kerajaan China akan menjadikan dasar fiskal lebih tegas dan dasar monetari lebih fleksibel untuk memastikan pertumbuhan dalam julat yang sesuai pada tahun depan, dengan tumpuan kepada pembaharuan struktur.

Memetik satu laporan, katanya China telah mengambil langkah untuk mengurangkan kelulusan kawal selia yang diperlukan untuk memulakan perniagaan, dan mengurangkan kadar faedah yang dikenakan oleh kesatuan kredit dan peminjam kecil lain yang memberi perkhidmatan kepada sektor swasta.

Langkah lain yang akan diambil pada tahun depan adalah mengurangkan beban perusahaan di China, sebagai sebahagian daripada kempen nasional untuk menggalakkan ‘keusahawanan dan inovasi, menurut laporan itu.

Menurut ChinaDaily.com, langkah itu bermakna China tidak lagi berusaha untuk menjana pertumbuhan ekonomi dengan hanya menggunakan langkah fiskal dan monetari untuk meningkatkan pelaburan modal, penggunaan dan eksport.

Sebaliknya, kerajaan akan lebih tertumpu kepada merangka dasar yang dari segi penawaran, bertujuan membantu industri yang ia sokong.

Perniagaan yang tidak relevan juga akan dihentikan secara berperingkat, katanya.

China turut memberi jaminan akan melancarkan satu siri dasar pada tahun depan yang telah dibincangkan untuk tempoh yang lama, termasuk lebih banyak pengurangan cukai, insentif bagi industri tertentu, pembaharuan pengawalseliaan dan lebih banyak bantuan untuk mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan.

Katanya pembaharuan dari segi penawaran meliputi dua bidang termasuk melaraskan semula struktur ekonomi.

Memanfaatkan faktor pengeluaran termasuk dana, sumber, pekerja berkemahiran, peralatan dan teknologi akan memacu pertumbuhannya dengan produktiviti dan meningkatkan daya saing penawaran.

ARTIKEL YANG SAMA