Pelan Induk PKS ASEAN diumum pada ABIS 2015

Pelan Induk PKS ASEAN diumum pada ABIS 2015

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) – Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi rantau ini akan diumumkan pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) 2015 tidak lama lagi.

Pelan induk itu akan menyediakan hala tuju yang jelas untuk mencapai kejayaan dalam pasaran global, menurut penganjur sidang kemuncak itu ASEAN-Majlis Penasihat Perniagaan (ASEAN-BAC).

Dalam kenyataan hari ini, ASEAN-BAC berkata forum tahunan utama Asia Tenggara itu kembali ke Malaysia selepas kitaran 10 tahun.

Sidang kemuncak itu bertujuan membantu perniagaan meneroka peluang baharu apabila Komuniti Ekonomi

ASEAN (AEC) dilaksanakan pada akhir tahun dan menyediakan maklumat dalam menerajui pertumbuhan pasaran semasa yang lembap dan isu-isu penting di rantau ini.

“Dengan Malaysia mempengerusikan ASEAN 2015, tahun ini merupakan pengenalan paling penting untuk ABIS di Malaysia,” menurut ASEAN-BAC.

Persidangan selama dua hari mulai 20 Nov, ABIS Ke-12, akan menampilkan lebih 1,000 buah syarikat di seluruh rantau ini.

Antara penceramah termasuk Pemimpin Rakan ASEAN dan pemimpin seperti Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pengerusi ASEAN-BAC Tan Sri Dr Mohd Munir, Rakan Pengurusan McKinsey & Co di Asia Tenggara Oliver Tonby dan bekas Menteri Perdagangan Indonesia Gita Wirjawan.