Pelan keselamatan jalan raya ASEAN dimuktamadkan

Pelan keselamatan jalan raya ASEAN dimuktamadkan

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) – Pelan Strategi Keselamatan Jalan Raya Serantau Asean yang akan menjadi standard bagi keselamatan jalan raya negara anggota pertubuhan itu telah dimuktamadkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata strategi yang selari dengan Dekad Tindakan bagi Keselamatan Jalan Raya Pertubuhan Bangsa Bersatu 2011-2020, adalah penting untuk menjaga kebajikan rakyat ASEAN memandangkan kawasan serantau itu akan terus membangunkan tanah dan infrastruktur pengangkutan.

“Tambahan pula, saya faham bahawa semasa mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN tahun lepas, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya atau MIROS, dilantik sebagai Pusat Keselamatan Jalan Raya ASEAN dalam menyepadukan usaha-usaha oleh negara anggota ASEAN berhubung hal-hal keselamatan, yang sudah tentu merupakan satu penghormatan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN ke-21 di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pembangunan infrastruktur pengangkutan darat iaitu jalan raya dan kereta api adalah sama-sama penting bagi meningkatkan mobiliti dan mencapai integrasi lebih besar dan kesalinghubungan antara mod dalam negara-negara ASEAN.

Oleh itu, beliau berkata, penyiapan dan pelaksanaan Perjanjian Pemudahan Pengangkutan ASEAN juga sudah pasti tepat pada masanya.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mempengerusikan mesyuarat itu. – Bernama
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika mempengerusikan mesyuarat itu. – Bernama

Timbalan Perdana Menteri berkata sektor pengangkutan memainkan peranan penting dalam memastikan ASEAN mengekalkan kedudukan utamanya sebagai satu dari blok ekonomi utama di dunia dan wujud manfaat besar yang akan diperoleh daripada kerjasama serantau.

Katanya rangkaian kesalinghubungan dan pengangkutan yang lebih baik terdiri daripada laluan darat, udara dan maritim di seluruh rantau ini akan menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan ASEAN, memperkayakan integrasi ekonomi dan daya saing negara anggota ASEAN.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN, pertalian itu juga akan memudahkan kerjasama dan penglibatan yang lebih besar di seluruh negara-negara ASEAN.

Ahmad Zahid berkata, komponen utama dalam penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) adalah liberalisasi sektor penerbangan ASEAN, yang akan menjadi pemangkin ketara untuk pertumbuhan ekonomi di rantau ini pada tahun 2030.

ARTIKEL YANG SAMA