Pelan pembangunan selatan Sabah dirangka

TAWAU, 12 Mac – Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan persekutuan terus mencipta pelbagai pembangunan untuk Sabah dan terbaharu, satu pelan pembangunan wilayah selatan dirangka merangkumi daerah Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berkata inisiatif terbaharu itu bagi melihat potensi yang boleh dibangunkan serta dikembangkan di empat daerah tersebut.

Beliau berkata usahasama Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Persekutuan dengan dibantu PEMANDU Associates ini berjaya mewujudkan pelan pembangunan wilayah selatan dengan 25 projek permulaan dicadangkan melalui makmal atau Lab Kajian Pelan Pembangunan Wilayah Selatan Sabah.

“Ia melibatkan pelancongan, pertanian dan industri minyak sawit yang dijangka mampu menjana pendapatan besar dan sekurang-kurangnya membuka 50,000 peluang pekerjaan kepada rakyat di daerah terlibat dan sekitar,” katanya ketika berucap merasmikan jelajah Yayasan Sabah bersama rakyat peringkat Zon Pantai Timur Selatan Sabah di padang bandaran Tawau di sini, hari ini.

Hadir sama pada program itu Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Anggota Parlimen Tawau Datuk Mary Yap Kain Ching, menteri-menteri kabinet negeri, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Tan Sri Musa Aman (tiga, kiri) menyampaikan sijil semasa satu acara di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah pada 10 Mac lalu. Ketua Menteri Sabah itu berkata kerjasama erat antara kerajaan negeri dan persekutuan terus mencipta pelbagai peluang pembangunan untuk Sabah. – Bernama

Musa berkata pelan pembangunan sedemikian juga akan diwujudkan bagi kelangsungan pembangunan di Sandakan, Beluran, Labuk dan Kinabatangan.

Dalam pada itu, katanya menjadi kepentingan bagi kerajaan Barisan Nasional khususnya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berusaha serta bekerja membangunkan Sabah dan amnya Malaysia.

“Kerajaan BN dipimpin oleh perdana menteri yang sangat prihatin kepada Sabah, beliau (Najib) tidak jemu, tidak gentar untuk memberikan peruntukan sebesar apa untuk rakyat negeri ini,” katanya sambil diberikan tepukan gemuruh oleh kira-kira 5,000 hadirin yang mendengar ucapan pemimpin nombor satu Sabah itu.

Sementara itu, Musa berkata usaha Kumpulan Yayasan Sabah yang diwujudkan sejak tahun 1966 itu sentiasa membantu rakyat negeri ini sesuai dengan peredaran masa.

Menurutnya, selain bantuan biasiswa Yayasan Sabah juga melipatgandakan usaha dalam memberi kesejahteraan hidup rakyat termasuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan. – Bernama