Pelan pemerkasaan ibu tunggal dilancar bulan depan

Pelan pemerkasaan ibu tunggal dilancar bulan depan

NEW YORK, 28 Sept (Bernama) – Satu pelan tindakan kebangsaan untuk memperkasakan ibu tunggal di Malaysia akan dilancarkan bulan depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad (Isnin di Malaysia).

Berucap pada Mesyuarat Pemimpin Dunia mengenai Kesamaan gender dan Pemerkasaan Wanita di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini, Perdana Menteri berkata kerajaan menyedari bahawa ibu tunggal dan ketua isi rumah wanita sering kurang bernasib baik dari segi sosial dan ekonomi, terutamanya di kawasan luar bandar.

Najib berkata Majlis Penasihat dan Perundingan Wanita juga ditubuhkan baru-baru ini untuk membantu menggubal dasar dan undang-undang khusus demi kemajuan wanita.

Satu tinjauan yang dijalankan pada 2009 oleh Program Pembangunan PPB (UNDP) menunjukkan bahawa kebanyakan ibu tunggal, terutamanya yang tinggal di luar bandar, hampir tidak mempunyai simpanan dan mendapati ia sangat mencabar untuk mendapatkan pekerjaan memandangkan kebanyakan mereka tidak mempunyai pendidikan, kemahiran dan latihan.

Kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa beberapa ibu tunggal menjalankan pelbagai pekerjaan untuk menyara keluarga.

Menyifatkan wanita adalah kunci masa depan Malaysia, Najib berkata kerajaan akan memastikan wanita dapat memainkan peranan mereka dalam setiap aspek kehidupan di negara ini.

“Kerana kita tahu bahawa apabila wanita berjaya, kita semua berjaya,” katanya.

Beliau berkata memandangkan Malaysia berhasrat menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, ia tidak akan dapat mencapai status berkenaan tanpa wanita sebagai rakan kongsi dan pemandu ke arah pertumbuhan yang diperlukan untuk membawa kemakmuran kepada semua rakyat.

Najib berkata Malaysia telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita daripada 54 peratus pada tahun lepas kepada 59 peratus pada 2020.

Kerajaan juga melancarkan Program Wanita Kembali Berkerjaya untuk menyediakan peluang wanita untuk kembali bekerja selepas melahirkan anak, inisiatif untuk meningkatkan bilangan wanita berkemahiran dalam tenaga kerja.

“Kami juga telah menubuhkan Program Pengarah Wanita – dan 900 telah menamatkan pengajian dan secara rasmi bersedia untuk menjadi Ahli Lembaga Pengarah,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA