Pelan penyelamat elak muflis

Pelan penyelamat elak muflis

ATHENS, 10 Julai (AFP) – Greece mengemukakan permohonan pelan menyelamat ekonomi terperinci kepada Kesatuan Eropah (EU) dalam usaha terakhir mengelak daripada muflis dan mengekalkan keanggotaan dalam zon mata wang Euro. Sebelum itu, Perdana Menteri, Alexis Tsipras berikrar bahawa pelan baharu Greece yang memohon dana berbilion-bilion Euro akan mengandungi usul konkrit bagi mendapatkan penyelesaian yang adil dan berdaya maju.

Namun, beberapa negara zon Euro yang diketuai Jerman keliru dengan kesanggupan Greece melaksanakan pelan penjimatan itu terutama selepas rakyat Greece menolaknya termasuk bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa minggu lalu.

“Ini peluang terakhir untuk Greece dan kami,” kata Presiden EU, Donald Tusk pada Rabu.

Tambah Tusk, kegagalan mencapai persetujuan akan menyebabkan Greece muflis dan mengundang masalah geopolitik untuk Eropah. Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin 28 negara EU akan mengadakan sidang kemuncak Ahad ini bagi memutuskan sama ada akan menerima pelan menyelamat ekonomi yang dikemukakan Athens atau sebaliknya.

Kegagalan menerima pelan tersebut akan memaksa Greece mencetak mata wangnya sendiri sekali gus terkeluar dari zon mata wang Euro.