Pelan perniagaan aspek penting untuk kejayaan

Pelan perniagaan aspek penting untuk kejayaan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 22 Sept – Untuk menjadi pemilik perniagaan, salah satu aspek yang penting apabila memulakan apa jua jenis perniagaan ialah penyediaan pelan perniagaan yang padat dan betul.

Kaunselor Perniagaan Kanan, LiveWIRE Brunei, Awang Mohd Fadhilulah Tudun bin Haji Hassan menekankan, tiada ada cara yang betul atau salah dalam menyediakan pelan perniagaan, cuma ia harus mengikut kriteria-kriteria tertentu, terpulang kepada mana-mana industri yang menentukan peraturannya dan kepada siapa pelan perniagaan ini ditujukan.

“Peraturan umum dan standard adalah untuk menulis satu halaman bagi setiap bahagian tetapi ia bergantung kepada siapa pelan perniagaan ini dan untuk siapa matlamat pelan perniagaan ini ditujukan kerana objektif pelan perniagaan ini adalah untuk membawa idea dan mesej anda kepada orang-orang yang akan membacanya seperti perbankan, pelabur dan juga kepada kerajaan yang menyediakan geran perniagaan.”

Justeru itu, beliau menyarankan agar pihak yang akan menulis pelan perniagaan bagi sebarang jenis perniagaan mengetahui kepentingan aspek-aspek dalam penyediaan pelan tersebut.

“Anda mesti memberi gambaran yang lebih jelas kepada mereka yang akan membaca pelan perniagaan anda.

Awang Mohd Fadhilulah ketika menekankan pentingnya pelan perniagaan bagi peniaga untuk memulakan perusahaan mereka dalam Bengkel Konsep Keusahawanan Bagi MPK-MPK Daerah Belait yang diadakan di OGDC kelmarin.
Awang Mohd Fadhilulah ketika menekankan pentingnya pelan perniagaan bagi peniaga untuk memulakan perusahaan mereka dalam Bengkel Konsep Keusahawanan Bagi MPK-MPK Daerah Belait yang diadakan di OGDC kelmarin.

“Selain menyediakan ‘table of content’ atau jadual kandungan untuk rujukan yang mudah bagi pembaca dan penyediaan muka hadapan dan belakang yang baik bagi pelan tersebut, dua daripada kandungan paling penting dalam pelan perniagaan yang harus diselidiki adalah dari segi kewangan dan penyelidikan pasaran,” jelasnya lagi ketika ditemui semasa Bengkel Konsep Keusahawanan bagi Majlis-majlis Perundingan Kampung (MPK) Daerah Belait di Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC), Seria, hari ini.

Mengulas lanjut mengenainya, Awang Mohd Fadhilulah berkata mereka bukan sahaja perlu menyediakan beberapa pengiraan dan graf seperti untuk kos, perbelanjaan, ramalan untuk segala keuntungan dan kerugian, malahan mereka perlu tampil dengan penyelidikan pasaran yang meluas mengenai produk mereka.

“Adakah ia mempunyai permintaan pasaran bagi jangka panjang? adakah produk tersebut mempunyai platform pasaran di tempat mereka menjualnya? dan bolehkah produk itu mampu bersaing dengan produk-produk yang lain di luar sana?” tambahnya.

Beliau juga menyarankan mereka yang ingin berkecimpung dalam dunia perniagaan supaya mempelajari dan menimba ilmu pengetahuan yang mendalam terhadap penyediaan pelan perniagaan melalui perpustakaan atau rakan-rakan yang berpengalaman dan cuba memaksimumkan pemakaian Internet seperti Google dan YouTube untuk meluaskan lagi penyelidikan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA