Pelan tambah bilangan harimau diperkenalkan

Pelan tambah bilangan harimau diperkenalkan

PHNOM PENH, 6 April – Harimau-harimau sedang berdepan ‘kepupusan’ di Kemboja, akui penyokong pemuliharaan buat pertama kalinya hari ini, ketika mereka melancarkan pelan tindakan berani untuk memperkenalkan semula kucing besar itu ke hutan kerajaan.

Hutan kering Kemboja dulu-nya adalah rumah kepada beberapa sekumpulan harimau Indochina namun WWF mengatakan pemburuan intensif ke atas harimau dan mangsa mereka telah mengurangkan bilangan kucing besar itu.

Harimau terakhir dilihat dalam perangkap kamera di timur wilayah Mondulkiri pada 2007, katanya.

“Hari ini, tidak akan ada lagi bilangan pembiakan baru harimau di Kemboja, dan oleh itu mereka dianggap telah pupus,” kata kumpulan penyokong pemuliharaan dalam satu kenyataan.

Dalam usaha untuk memulihkan bilangannya, kerajaan Kemboja bulan lalu meluluskan satu rancangan untuk memperkenalkan haiwan berkenaan ke hutan Mondulkiri yang dilindungi yang jauh ke timur negara.

Rancangannya adalah untuk melihat pembentukan sejumlah besar habitat yang sesuai dan melindunginya daripada para pemburu haram dengan penguatkuasaan undang-undang ketat, kata para pegawai, dan tindakan untuk melindungi mangsa harimau.

“Kami memilih dua harimau jantan dan lima hingga enam harimau betina pada permulaan,” kata pengarah jabatan hidupan liar dan biodiversiti Pentadbiran Perhutanan, Keo Omaliss memberitahu para wartawan.

“Ia adalah tugas yang besar.”

Kerajaan memerlukan AS$20 hingga AS$50 juta bagi projek itu, ujarnya, menambah rundingan telah dimulakan dengan negara-negara termasuk India, Thailand dan Malaysia untuk membekalkan sebilangan kecil harimau liar untuk diperkenalkan. Kumpulan penyokong pemuliharaan memuji rancangan itu.

“Ia (harimau itu) telah diburu sehingga pupus kerana penguatkuasaan undang-undang yang lemah dan kerajaan kini sedang bertindak,” kata Suwanna Gauntlett dari Perikatan Hidupan Liar.

Pembasmian hutan dan pemburuan telah memusnahkan jumlah harimau di seluruh Asia, dengan anggaran baru-baru ini daripada Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) meletakkan jumlah global hanya sekitar 2,154.

Negara-negara yang memiliki habitat harimau – Bangladesh, Bhutan, China Kemboja, India, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Nepal, Rusia, Thailand dan Vietnam – pada 2010 telah melancarkan pelan untuk menggandakan bilangan mereka menjelang 2022. – AFP