Pelan tangani isu dadah diluluskan

Pelan tangani isu dadah diluluskan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Kerjasama negara-negara anggota ASEAN adalah amat penting dalam meneruskan dan mencapai aspirasi ASEAN bebas dadah, di mana dasar reformasi dadah yang dilaksanakan oleh negara-negara lain di luar rantau ASEAN, tidak semestinya dapat diadaptasikan oleh semua negara.

Ia kerana situasi dadah adalah berbeza di negara-negara ASEAN masing-masing dan hak kedaulatan setiap negara juga perlu dihormati.

Penekanan itu dinyatakan oleh Menteri Keadilan Thailand, Jeneral Paiboon Koomchaya ketika berucap di Pembukaan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN bagi Hal Ehwal Dadah (ASOD) ke-37 yang berlangsung pada 24 hingga 27 Ogos di Bangkok, Thailand.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Kawalan Narkotik (BKN), di sini, Jeneral Koomchaya turut menekankan bahawa kerjasama di antara negara-negara ASEAN adalah amat penting untuk sama-sama menangani isu dadah khususnya isu pengeluaran dadah haram di negara-negara tiga segi emas (Golden Triangle)Turut hadir pada mesyuarat berkenaan adalah delegasi dari BKN Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh Pemangku Pengarah Biro Kawalan Narkotik, Haji Mohammad Jaffari bin Haji Mahadi bersama beberapa orang pegawai kanan dari BKN.

Semasa mesyuarat itu, para delegasi telah membincangkan dan bertukar-tukar maklumat dalam usaha untuk sama-sama memerangi kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

Haji Mohd Jaffari bersama Jeneral Paiboon Koomchaya (tujuh kanan) dan Setiausaha Agung Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB), Sirinya Sitdhicai, serta ketua delegasi negara-negara anggota ASEAN.
Haji Mohd Jaffari bersama Jeneral Paiboon Koomchaya (tujuh kanan) dan Setiausaha Agung Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB), Sirinya Sitdhicai, serta ketua delegasi negara-negara anggota ASEAN.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa mesyuarat kali ini telah meluluskan pelan tindakan, The ASEAN Work Plan on Securing Communities Against Illicit Drugs 2016-2025, yang menggariskan kegiatan dan inisiatif dalam menangani cabaran-cabaran terhadap isu-isu dadah haram serantau untuk disahkan dalam Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN bagi Hal Ehwal Dadah (AMMO) yang akan diadakan pada 19 dan 20 Oktober nanti di Republik Singapura.

Mesyuarat itu, turut menyaksikan pelancaran laporan terbitan, ASEAN Narcotics Cooperation Center (ASEAN-NARCO) bertajuk ‘ASEAN Drug Monitoring Report 2015’.

Laporan itu membentangkan situasi dadah ASEAN secara menyeluruh bagi tahun 2015 dan juga inisiatif yang telah dilaksanakan berdasarkan kepada strategi pengurangan pembekalan dan permintaan dadah oleh negara-negara ahli ASEAN.

Di samping Mesyuarat ASOD kali ke-37, mesyuarat bersama rakan-rakan dialog turut diadakan iaitu melalui SOMTC ke-11 +3 Mesyuarat Kumpulan Kerja berhubung Narkotik, ASOD ke-3 + Mesyuarat Penyelarasan China, ASOD ke-4 + Mesyuarat Penyelarasan Jepun dan ASOD ke-5 + Penyelarasan Republik Korea.

ARTIKEL YANG SAMA