Pelancaran peluru berpandu gagal

Pelancaran peluru berpandu gagal

SEOUL, Korea Selatan, 16 Okt – Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) hari ini berkata pelancaran peluru berpandu terbaru oleh Korea Utara berakhir dengan kegagalan selepas peluncur dilaporkan meletup sejurus selepas pelancaran.

Ketua Turus Tentera Korea Selatan berkata dalam satu kenyataan bahawa pihak tentera percaya Korea Utara tidak berjaya dalam cubaan untuk melancarkan peluru berpandu Musudan jarak sederhana.

Menurutnya pelancaran gagal itu dijalankan berhampiran sebuah lapangan terbang di wilayah Utara Pyongan, Korea Utara.

Agensi berita Yonhap, Korea Selatan melaporkan bahawa peluru berpandu itu dipercayai meletup sejurus selepas dilancarkan. Yonhap tidak memetik sumber bagi maklumat ini. Korea Selatan sekeras-kerasnya menyelar pelancaran itu kerana ia menyalahi resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menegah sebarang kegiatan balistik oleh Korea Utara, menurut kenyataan itu lagi.

Pihak tentera AS kali pertama melaporkan bahawa percubaan pelancaran itu adalah ada pukul 12:03 tengah hari waktu tempatan semalam dan peluru berpandu itu tidak memberi ancaman kepada Amerika Utara. Tindakan itu mengundang kritikan keras dari AS.

Seorang lelaki menonton berita TV yang menunjukkan gambar fail pelancaran peluru berpandu yang dijalankan oleh Korea Utara, di Stesen Kereta api Seoul di Seoul, Korea Selatan, kelmarin. – AP
Seorang lelaki menonton berita TV yang menunjukkan gambar fail pelancaran peluru berpandu yang dijalankan oleh Korea Utara, di Stesen Kereta api Seoul di Seoul, Korea Selatan, kelmarin. – AP

“Kami sekeras-kerasnya menyelar pelancaran itu dan ujian peluru berpandu Korea Utara lain yang baru-baru ini, yang melanggar Resolusi Majlis Keselamatan PBB jelas menegah pelancaran Korea Utara menggunakan teknologi peluru berpandu balistik,” kata Pemerintah Gary Ross, jurucakap Pentagon. Menurutnya AS akan membangkitkan kebimbangan itu di PBB.

“Komitmen kami kepada pertahanan sekutu-sekutu kami, termasuklah Republik Korea dan Jepun, di tengah ancaman-ancaman ini, adalah tidak dapat diubah,” kata Ross.

“Kami terus bersiap sedia untuk mempertahankan diri kami dan sekutu-sekutu kami dari sebarang serangan atau provokasi.”

Jepun telah melahirkan kebimbangan ekoran pelancaran itu dan Menteri Pertahanan Tomomi Inada hari ini berkata dia mahu bekerjasama dengan AS dan Korea Selatan untuk memastikan keselamatan negaranya.

Korea Utara telah mendakwa meraih kejayaan teknikal dalam matlamatnya memajukan peluru berpandu nuklear jarak jauh yang mampu sampai ke benua AS. Para pegawai pertahanan Korea Selatan berkata Korea Utara belum lagi memiliki senjata seumpama itu. – AP

ARTIKEL YANG SAMA