Pelancaran roket terbesar dunia menuju Marikh

ROKET paling berkuasa di dunia, Falcon Heavy daripada SpaceX, berlepas baru-baru ini dalam penerbangan ujian sulung yang lama dinanti-nantikan, membawa Tesla Roadster merah ceri milik CEO Elon Musk ke orbit berhampiran Marikh.

Jeritan dan sorakan meletus di kawalan misi di Cape Canaveral, Florida ketika roket besar itu menghidupkan 27 enjin dan berderam-derum ke langit biru di atas landas pelancaran NASA yang sama yang berfungsi sebagai satu pangkalan untuk misi AS ke Bulan empat dekad lalu.

“Misi berjalan lancar seperti yang diharapkan,” beritahu Musk kepada wartawan selepas pelancaran, menggelarnya ‘perkara paling menyeronokkan yang pernah saya lihat.’

“Saya mempunyai imej ledakan besar di landas pelancaran dengan roda melantun jatuh dari jalan raya dengan logo Tesla mendarat di tempat lain,” kata beliau. “Nasib baik ia tidak berlaku.”

Dimuat dengan Tesla merah Musk dan boneka dalam pakaian sut angkasa lepas, perjalanan ujian bersejarah roket besar itu telah memukau dunia.

Falcon Heavy dilancarkan dari landas pelancaran NASA yang sama yang menjadi pangkalan untuk misi Bulan era Apollo pada 1960 dan 1970. – AFP

Laman web SpaceX menunjukkan Tesla Roadster meluncur naik ke angkasa lepas, tatkala lagu David Bowie Space Oddity dimainkan sebagai latar belakang, dengan perkataan ‘Jangan Panik’ kelihatan di papan pemuka, dalam persetujuan dengan siri sains cereka Hitchhiker’s Guide to the Galaxy.

Roadster juga dilengkapi dengan unit simpanan data yang mengandungi siri buku cereka sains Isaac Asimov, Foundation Trilogy, dan satu plak yang mempunyai nama 6,000 pekerja SpaceX.

Musk menyiar satu video langsung yang menunjukkan boneka ‘Starman’ mengemudi perjalanan, tangannya yang memakai sarung tangan memegang stereng, menerusi kegelapan ruang angkasa lepas, dengan imej Bumi dipantul pada permukaan merah berkilat kereta.

Beliau menulis di Twitter baru-baru ini bahawa pentas atas roket mencatat pembakaran terakhir yang berjaya, menghantar kereta dan penumpang bonekanya keluar dari orbit Bumi, ke orbit sekitar Matahari yang membawanya menghampiri Marikh.

Setelah bertahan perjalanan lima jam menerusi Kawasan Van Allen, satu rantau yang mempunyai radiasi tinggi, kereta itu kini memulakan satu perjalanan menerusi ruang angkasa lepas yang mungkin mengambil masa berbilion tahun dan membawanya sejauh 250 juta batu dari Bumi, perjalanan yang sama mengelilingi khatulistiwa sebanyak 10,000 kali.

“Mungkin ia akan ditemui oleh kaum makhluk asing pada masa depan,” beritahu Musk kepada wartawan. “Apakah yang dilakukan oleh orang ini? Adakah mereka memuja kereta ini?” selorohnya.

Satu langkah yang besar

Kira-kira dua minit selepas memulakan penerbangan, penggalak di kedua-dua bahagian tertanggal daripada bahagian tengah dan menuju balik ke arah Bumi untuk pendaratan menegak.

Kedua-dua roket mendarat bersebelahan secara serentak di landas pelancaran, video menunjukkan gambar secara langsung. ‘Sukan Olimpik baru – Pendaratan Serentak!’ tulis angkasawan NASA Randy Bresnik di Twitter.

Perjalanan ujian bersejarah roket besar itu telah berjaya memukau dunia. – AFP

Penggalak tengah ketiga gagal mendarat di platform lautan, dikenali sebagai kapal dron, sebagaimana yang dirancang.

“Ia tidak mempunyai bahan dorong yang mencukupi,” kata Musk, menambah ia terjatuh ke dalam lautan kira-kira 100 meter dari tapak pendaratan. “Jelasnya ia terkena air pada 300 batu sejam dan memusnahkan dua daripada enjin,” tambah beliau.

Pakar berkata pelancaran mungkin menarik perhatian agensi angkasa lepas AS NASA, yang mungkin menimbang menggunakan Falcon Heavy sebagai satu cara untuk mempercepat rancangannya untuk sampai ke Bulan sekali lagi untuk kali pertama sejak 1972. Pemangku Pentadbir NASA Robert Lightfoot mengucapkan tahniah kepada SpaceX dan menggelarnya satu ‘pencapaian besar.’

Pengarah Pusat Angkasa Lepas Kennedy Bob Cabana berkata “kejayaan pelancaran sebuah kenderaan baru dalam penerbangan pertamanya merupakan satu pencapaian besar yang boleh dibanggakan oleh mereka.”

Angkasawan Kanada Chris Hadfield menulis di Twitter: “Apa yang kami sedang tonton adalah @SpaceX meninggalkan semua syarikat roket lain dalam debu. Tahniah kepada semua orang di sana!”

Falcon Heavy Specs

Presiden Donald Trump juga menawarkan ucapan tahniahnya, menulis di Twitter: “Pencapaian ini, bersama dengan rakan komersial dan antarabangsa NASA, menunjukkan kepintaran terbaik Amerika!” Musk menjawab: “Terima kasih bagi pihak SpaceX. Satu masa depan yang menarik sedang menanti di depan!”

Falcon Heavy dilancarkan dari landas pelancaran NASA yang sama yang menjadi pangkalan untuk misi Bulan era Apollo pada 1960 dan 1970.Ia adalah “roket operasi paling berkuasa di dunia berdasarkan faktor dua,” kata SpaceX.

Ia bermakna ia boleh membawa dua kali lebih banyak muatan berbanding Delta IV Heavy daripada United Launch Alliance, pada kos yang jauh lebih rendah, kira-kira AS$90 juta setiap pelancaran berbanding dengan AS$350 juta untuk pesaingnya. Namun Falcon Heavy bukan roket paling berkuasa – hanya yang terbesar dalam operasi pada hari ini. – AFP