Pelancong asing rangsang sektor pelancongan

Pelancong asing rangsang sektor pelancongan

MELAKA, 6 Julai (Bernama) – Pelancong asing membelanjakan RM4.9 bilion untuk membeli-belah dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, kata Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Pelancongan Malaysia, Chong Yoke Hare.

Beliau berkata angka itu adalah peningkatan 11.4 peratus berbanding RM4.4 bilion tempoh sama tahun lalu.

“Walaupun jumlah kedatangan pelancong asing ke negara ini menurun daripada 7.1 juta orang kepada 6.5 juta dalam tempoh sama tahun ini, sektor beli-belah tidak terjejas,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Karnival Jualan Mega 1Malaysia di The Shore di sini, semalam.

Katanya peningkatan perbelanjaan itu disebabkan purata perbelanjaan seorang pelawat juga meningkat daripada RM626.20 pada tahun lalu kepada RM758.90 tahun ini.

Perbelanjaan pelancong asing dijangka terus meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang selaras penganjuran beberapa lagi karnival beli-belah termasuk Karnival Jualan Mega 1Malaysia (27 Jun-31 Ogos) dan Jualan Akhir Tahun 1Malaysia (14 Nov-3 Jan), katanya.

Beliau berkata bagi menggalakkan lagi sektor beli-belah, ‘Shopping Malaysia Fun Map’ akan dikeluarkan sebagai panduan destinasi beli-belah untuk pelancong asing dan tempatan.

Katanya kerajaan juga mengenal pasti beberapa bandar di negara ini untuk dijadikan ‘destinasi beli-belah’ antaranya Melaka, Johor Baharu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

“Destinasi ini dikenal pasti berpotensi sebagai penyumbang dalam sektor beli-belah pelancongan negara kerana ia mempunyai lapangan terbang yang memudahkan kedatangan pelancong ke negeri berkenaan,” katanya.

Menurutnya segmen beli-belah merupakan penyumbang utama kepada pendapatan pelancongan negara iaitu sekitar 30 peratus atau RM21.6 bilion daripada keseluruhan RM72 bilion pada tahun lalu.