Pelancong asing turut teruja

Pelancong asing turut teruja

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Feb – Selain rakyat negara ini sendiri teruja melibatkan diri dan menyaksikan sambutan meriah ulang tahun Hari Kebangsaan ke-32 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, pelancong asing turut tidak ketinggalan sama-sama memeriahkan upacara itu.

Kehadiran mereka untuk sama-sama menyaksikan sambutan ternyata mewarnakan lagi sambutan itu.

Keterujaan itu turut dikongsi tiga pelajar Jepun yang sedang mengikuti kursus Global Discovery Programme di Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang mengambil kesempatan cuti umum ini untuk bersama-sama rakyat negara ini menyemarakkan Hari Kebangsaan.

Pelajar tersebut, Chi Ho, Nanami dan Hazuki memuji keamanan negara ini yang cukup cantik dengan flora dan fauna dijaga baik, meskipun pada permulaan mereka menyangka ia sebuah negara Islam yang mempunyai undang-undang ketat, namun setelah berada di sini, mereka memuji kemesraan rakyat dan pembangunan yang teratur.

Chi Ho, Nanami dan Hazuki sama-sama memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 tahun.
Chi Ho, Nanami dan Hazuki sama-sama memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 tahun.
Anthony (kiri) bersama rakan tempatan beliau berkunjung ke negara ini untuk meneroka pelancongan yang ada di Negara Brunei Darussalam.
Anthony (kiri) bersama rakan tempatan beliau berkunjung ke negara ini untuk meneroka pelancongan yang ada di Negara Brunei Darussalam.

Mereka juga teruja menyaksikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa sambutan itu dan menyatakan hasrat mahu berjunjung ziarah dengan Baginda Sultan jika ada kesempatan.

Manakala seorang warga Malaysia yang sudah pun berada di negara ini selama dua bulan atas urusan kerja, turut tidak melepaskan peluang menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan negara ini. Vivi Loh mengatakan ini kali pertama beliau menyaksikan sambutan kemerdekaan Negara Brunei Darussalam.

“Saya terkejut melihat begitu ramai rakyat Brunei yang berada di sini semenjak awal pagi lagi. Saya gembira dapat bersama-sama mereka menyambut Hari Kebangsaan, tambahan lagi pelbagai jualan makanan turut menarik perhatian,” katanya. Seorang lagi pelancong dari United Kingdom, Anthony bersama rakannya warga tempatan, terpesona dengan kemeriahan sambutan di sini dan melahirkan kekaguman dengan keramahan rakyat, dan ternyata sangkaan awalnya meleset apabila melihat sendiri keindahan negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA