Pelancong China lemas di pantai Pulau Sapi

Pelancong China lemas di pantai Pulau Sapi

KOTA KINABALU, 18 Feb (Bernama) – Seorang pelancong lelaki warganegara China mati lemas ketika mandi di kawasan pantai Pulau Sapi dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Candra berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, mangsa dikenali sebagai Feng Xiong Mei, 43, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1.

“Mangsa dipercayai lemas disebabkan tidak memakai jaket keselamatan ketika mandi di Pulau Sapi. Pengawal pantai Taman-Taman Sabah mengatakan mangsa berada dalam lingkungan jarak lebih kurang 100 meter dari pantai ketika lemas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Chandra, siasatan awal pihaknya di lokasi kejadian tidak menjumpai sebarang petunjuk berunsurkan khianat dan jenayah justeru, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Chandra berkata berdasarkan laporan polis yang diterima daripada pengawal pantai Taman-Taman Sabah di Pulau Sapi, pengadu dikatakan mendengar jeritan dari kawasan pantai lalu bergegas ke arah itu untuk memberi pertolongan sebelum membawa mangsa ke Hospital Queen Elizabeth 1.