Pelancong China mati gara-gara lerai 2 wanita gaduh

Pelancong China mati gara-gara lerai 2 wanita gaduh

HONG KONG, 20 Okt – Seorang pelancong China meninggal dunia di Hong Kong hari ini, menurut polis selepas dia dipukul hingga tidak sedarkan diri dalam pertikaian berhubung ‘paksaan membeli-belah’.

Lelaki yang berusia 54 tahun itu, ditemui tidak sedarkan diri di luar sebuah kedai barangan kemas di daerah komersial Hung Hom apabila polis tiba di tempat kejadian pada pagi Isnin.

Dia meninggal dunia di hospital hari ini. Mangsa, dikenali sebagai Miao Chunqi oleh akhbar South China Morning Post, merupakan seorang kontraktor pembinaan dari utara China, cuba untuk menenangkan pertikaian antara dua wanita – seorang rakan pelancong dan seorang ketua kumpulan kembara.

Media tempatan mengatakan pertikaian bermula disebabkan pelancong wanita tidak ingin membeli barangan di kedai tersebut.

Ramai pengunjung tanah besar China datang ke bandar selatan China sebagai sebahagian daripada kumpulan kembara dan telah mengadu tentang ‘paksaan beli-belah’ beberapa tahun kebelakangan, di mana mereka dibawa ke kedai-kedai oleh para ketua pelancong dan digesa untuk membeli produk.

“Siasatan awal mendapati, ketika kedua-dua wanita berusia 32 dan 53 tahun itu sedang bergaduh tentang hal-hal membeli-belah, lelaki itu masuk campur untuk menjadi orang tengah dan diserang oleh yang lain,” kata polis hari ini.

Dua wanita berkenaan telah ditangkap kerana berkelahi di tempat awam manakala dua lelaki lagi juga ditangkap kerana terlibat dalam kes pembunuhan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA