Pelancong maut disengat ubur-ubur

Pelancong maut disengat ubur-ubur

BANGKOK, 7 Okt (AFP) – Seorang pelancong Jerman berusia 20 tahun meninggal dunia selepas disengat ubur-ubur beracun di luar pulau peranginan popular Koh Samui, kata polis hari ini, kematian ketiga di Thailand dalam tempoh setahun.

Wanita itu disahkan mati lewat semalam di sebuah hospital swasta di pulau selepas diserang ketika berenang pada waktu malam di pantai Lamai.

“Doktor berkata dia meninggal dunia akibat keracunan daripada ubur-ubur,” kata Leftenan Thanakorn Patnankaew, seorang pegawai polis pelancong di pulau itu.

Beliau menambah pegawai tempatan telah memantau pantai berhampiran untuk mengingatkan pelancong agar lebih berhati-hati ketika berenang, walaupun sengatan sedemikian jarang berlaku.

Pejabat Konsul Jerman di Phuket mengesahkan salah seorang rakyatnya maut disebabkan sengatan ubur-ubur namun tidak memberikan butir lanjut.

Ubur-ubur memiliki sesungut dua ke tiga meter panjang yang boleh memberikan sengatan maut kepada perenang. Ia memakan ikan kecil dan krustasea.

ARTIKEL YANG SAMA