Pelancong Perancis hilang di Nepal, ditemui maut

Pelancong Perancis hilang di Nepal, ditemui maut

KATHMANDU, 19 Ogos – Mayat yang dipercayai seorang pelancong Perancis berusia 35 tahun yang dilaporkan hilang di Nepal minggu lalu telah ditemui, kata para pegawai hari ini, ketika pihak polis menantikan hasil bedah siasat untuk mengesahkan identitinya.

Pihak polis mula mencari wanita yang hilang itu selepas sebuah beg yang mengandungi pasport, pakaian dan buku nota wanita itu yang ditemui berhampiran lebuh raya Jumaat lalu di Syangja, 153 kilometer barat Kathmandu.

Para pegawai telah menemui mayat reput semalam selepas penduduk tempatan menghubungi pihak polis tentang bau busuk di kawasan itu, menurut Bir Bahadur Pulami, penolong superintenden polis Syangja.

“Wajahnya reput sehingga tidak dapat dikenal pasti, tetapi kami percaya ia adalah orang yang hilang selepas rakan-rakannya mengenal pasti rambut, pakaian dan barang kemasnya,” Pulami memberitahu AFP.

Mayat itu telah dibawa ke bandar Kathmandu bagi bedah siasat.

“Bedah siasat akan dilaksanakan untuk mengesahkan identitinya dan punca kematiannya. Penyiasatan kami sedang dijalankan,” kata pegawai itu lagi.

Kedutaan Perancis di Kathmandu berkata bahawa ia telah dimaklumkan mengenai kehilangan wanita berkenaan minggu lepas dan sedang membantu keluarganya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA