Pelancong Perancis maut dilanggar bot laju

Pelancong Perancis maut dilanggar bot laju

BANGKOK, 6 Jan (AFP) – Sebuah bot laju melanggar dan membunuh serta-merta seorang pelancong Perancis ketika dia sedang berenang di perairan yang dikhaskan untuk pengunjung bersnorkel di pusat peranginan Thailand, menurut polis hari ini.

Wanita, 52, meninggal dunia di tempat kejadian petang kelmarin selepas bot itu melanggarnya ketika dia sedang snorkel di luar pulau Poda, salah satu daripada beberapa pulau kecil di tempat tumpuan pelancong wilayah Krabi.

Polis menangkap pemandu bot laju berusia 29 tahun, Yothin Subsak, dan mendakwanya dengan tindakan cuai yang mengakibatkan kematian.

“Dia mengakui atas tuduhan itu,” komander polis pelancong Krabi, Leftenan Kolonel Man Rotthong memberitahu AFP.

“Mangsa dan suaminya menginap di Phuket berhampiran dan dia membeli pakej menyelam di sini,” tambahnya.

Pelancongan itu adalah sumber penting bagi hasil Thailand, yang menerima hampir 30 juta pengunjung asing pada 2015, menyumbang kepada satu pertiga dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).