Pelancongan berasaskan komuniti dipertingkatkan

Pelancongan berasaskan komuniti dipertingkatkan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos – Negara Brunei Darussalam mempunyai pelbagai keunikan dan khazanah budaya yang berpotensi untuk dikembangkan menjadi tarikan pelancong untuk menjana sumber pendapatan masyarakat setempat.

Oleh itu, pengalaman unik kehidupan masyarakat kampung, ekopelancongan dan sikap peramah masyarakat Brunei merupakan antara aset yang boleh terus dikembangkan supaya dapat membantu dalam meningkatkan industri pelancongan di negara ini.

Ketua Kebudayaan dan Pelancongan, Pusat ASEAN-Korea, Awang Mohd Daud bin Mohd Arif menyentuh potensi itu semasa berucap pada Majlis Penutup Program Pelancongan Berasaskan Komuniti ASEAN 2016 di Dewan Setia Pahlawan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, hari ini.

Hadir pada majlis berkenaan dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta program ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.

Menurut Awang Mohd Daud, peserta program telah memberikan maklum balas yang positif mengenai pengalaman mereka sepanjang menyertai program itu terutama semasa mengadakan lawatan ke beberapa tempat menarik di Daerah Tutong, Brunei dan Muara dan Temburong serta pengalaman unik mereka tinggal bersama keluarga angkat di Inap Desa Seri Tanjung Kampung Sungai Bunga.

Awang Wardi semasa menghadiri majlis berkenaan.
Awang Wardi semasa menghadiri majlis berkenaan.

Beliau juga amat tertarik untuk mendengar para peserta program berkongsi pengalaman dan membentangkan idea masing-masing mengenai cara untuk meningkatkan lagi industri pelancongan di negara ini serta membangunkan pelancongan ASEAN secara keseluruhannya.

Pada majlis berkenaan, peserta program dibahagikan kepada lima kumpulan di mana setiap kumpulan berkongsi pengalaman mereka sepanjang berada di negara ini dan memberikan cadangan serta idea mereka untuk meningkatkan lagi industri pelancongan berasaskan komuniti atau industri pelancongan Brunei.

Para peserta juga mengemukakan pelbagai idea menarik untuk membantu memperkasakan industri pelancongan termasuk penggunaan media sosial bagi mempromosikan keindahan Brunei dengan lebih efektif untuk meningkatkan pelancongan Brunei serta rantau ASEAN.

Awang Wardi menyampaikan sijil kepada para peserta Program Pelancongan Berasaskan Komuniti ASEAN 2016.
Awang Wardi menyampaikan sijil kepada para peserta Program Pelancongan Berasaskan Komuniti ASEAN 2016.
Seorang peserta berkongsi pengalaman dan membentangkan idea-idea bagi mengembangkan lagi industri pelancongan Negara Brunei Darussalam.
Seorang peserta berkongsi pengalaman dan membentangkan idea-idea bagi mengembangkan lagi industri pelancongan Negara Brunei Darussalam.

Program pelancongan berasaskan Komuniti ASEAN 2016 dengan tema Belia Menjana Pembangunan Pelancongan Mapan anjuran bersama Pusat ASEAN Korea dan Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan itu disertai seramai 22 orang peserta yang terdiri daripada 10 orang pelajar dari negara ASEAN dan 12 orang pelajar dari Korea.

Penyertaan peserta program itu diharap akan memberikan pengalaman selepas menyaksikan sendiri pelancongan berasaskan komuniti bagi menjana idea baru serta kreatif bagi pembangunan pelancongan mapan di Brunei dan di ASEAN.

Sepanjang program yang bermula pada 17 Ogos hingga 23 Ogos itu, para peserta berpeluang untuk mempelajari dan mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan kebudayaan termasuk membuat kikik, memancing, menyertai mini regata, memasak makanan tradisional dan mengambil bahagian dalam kegiatan kemasyarakatan seperti menanam pokok dan kegiatan pemuliharaan alam sekitar.

Para peserta program juga diberikan tugas untuk membuat perbincangan dan berkongsi pengalaman mereka sepanjang menyertai program serta berkongsi idea kreatif bagi mengembangkan lagi pelancongan berasaskan komuniti.

ARTIKEL YANG SAMA