Pelancongan berkembang

Pelancongan berkembang

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Negara Brunei Darussalam meletakkan peranan yang penting kepada sektor pelancongan sebagai salah satu sektor ekonomi yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan mapan ekonomi negara.

Industri pelancongan Brunei telah menunjukkan pertumbuhan baik yang mana ia mempunyai kadar pertumbuhan tahunan di antara enam hingga tujuh peratus sejak tahun 2012.

Peranan penting sektor pelancongan itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin ketika berucap pada Perasmian Program Pelancongan Berasaskan Komuniti ASEAN yang berlangsung di Inap Desa Seri Tanjung, Kampung Sungai Bunga, hari ini.

Beliau menyatakan bahawa hala tuju strategik bagi industri pelancongan Brunei adalah ke arah pembangunan mapan kedatangan pelancong yang akan menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi berkaitan pelancongan dengan memanfaatkan produk dan perkhidmatan pelancongan utama dan baru.

Jelas beliau lagi, produk-produk pelancongan utama negara ialah Temburong yang menawarkan pengalaman tidak boleh dilupakan iaitu menikmati keindahan, kekayaan dan kepelbagaian alam sekitar dan alam semula jadi termasuk hutan hujan tropika negara.

Produk pelancongan utama negara yang tidak kurang pentingnya adalah Kampong Ayer dan Bandar Seri Begawan yang mengetengahkan keunikan dan kekayaan budaya serta khazanah negara, jelas Dr Haji Abdul Manaf.

Manakala itu, taman dan pantai-pantai negara merupakan produk pelancongan baru yang memenuhi keperluan pelancong antarabangsa yang ingin berkunjung ke destinasi percutian bersama keluarga mereka.

Selain itu, kegiatan pelancongan tidak hanya terhad kepada alam semula jadi dan kebudayaan semata-mata, jelas Dr Haji Abdul Manaf, ia juga meliputi kegiatan menyelam, memerhati burung, pelancongan Islam, pelancongan perubatan, pelancongan pelayaran, pelancongan pendidikan, MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan acara), pengembaraan, inap desa, budaya dan pelancongan berasaskan komuniti.

“Selain itu, kami ingin melihat pertumbuhan berterusan pelancongan berasaskan komuniti pada tahun-tahun yang akan datang.”

Perkara itu, jelas Dr Haji Abdul Manaf, akan menggalakkan penyertaan daripada pihak-pihak pelancongan yang berkepentingan menerusi kerjasama awam-swasta (PPP) bagi pembangunan produk-produk pelancongan negara.

Pada masa yang sama, beliau juga berharap lebih banyak organisasi serantau dan antarabangsa seperti Pusat ASEAN-Korea terlibat dari segi memberikan nasihat dan kepakaran bagi pembangunan sektor pelancongan Negara Brunei Darussalam.

Menyentuh mengenai Program Pelancongan Berasaskan Komuniti yang dikendalikan bersama oleh Pusat ASEAN-Korea dan Jabatan Pembangunan Pelancongan, KSSUP bagi 2016, Dr Haji Abdul Manaf percaya interaksi di antara peserta program dan komuniti setempat akan mempromosikan kefahaman dan rasa hormat-menghormati bukan sahaja antara budaya tetapi juga ke arah memelihara cara hidup asli dan alam semula jadi.

ARTIKEL YANG SAMA