Pelancongan g...

Pelancongan gastronomi bantu promosi Brunei

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Sektor makanan dan minuman turut berperanan penting membantu pihak kerajaan dalam usaha untuk menjana dan membangunkan sebuah ekonomi yang kukuh, pelbagai serta mapan.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) amat menghargai sumbangan sektor tersebut serta impak positifnya kepada ekonomi negara sekali gus membantu negara merealisasikan matlamat mempelbagaikan ekonomi Wawasan Negara 2035.

Ini dinyatakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong ketika berucap di Forum Inspire 2017, Membangunkan Perniagaan Makanan dan Minuman Awda, Cabaran, Inovasi dan Peluang yang berlangsung di Dewan Mutiara, Hotel Radisson, di sini, hari ini.

Beliau turut menyatakan harapan untuk terus melihat perniagaan-perniagaan makanan dan minuman Brunei terus berkembang dan menerokai pasaran di luar negara, di mana mereka boleh berkongsi yang terbaik dari Brunei kepada seluruh dunia.

Yang Berhormat Dato berkata bahawa sektor makanan dan minuman tempatan menunjukkan perkembangan yang signifikan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini dan seiring dengan perkembangan itu, ia perlu peka mengenai cara untuk menangani pasaran yang lebih kompetitif dan memerlukan mereka untuk mengetahui mengenai strategi-strategi yang boleh membawa lebih banyak kejayaan bagi mereka.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika menerima cenderahati daripada Shaun Hoon pada majlis berkenaan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika menerima cenderahati daripada Shaun Hoon pada majlis berkenaan.

Beliau berkata, KSSUP mempunyai pelan-pelan yang inovatif bagi industri berkenaan dan salah satu daripadanya adalah penganjuran buat kali pertama, Minggu Gastronomi Brunei bermula 22 hingga 26 Februari ini bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33.

Menurutnya, acara itu merupakan inisiatif Lembaga Pelancongan Brunei dan KSSUP yang bermatlamat untuk menggalakkan restoran-restoran tempatan mempromosikan hidang-hidangan unik yang mencerminkan identiti Brunei.

“Kami percaya bahawa strategi ini dapat digunakan secara efektif menarik pelancong-pelancong dari seluruh negara dan sehubungan itu, kami mengalu-alukan semua restoran di Brunei untuk mengambil bahagian dalam inisiatif ini.”

Beliau berkata bahawa gastronomi merupakan inti pati budaya dan merupakan satu elemen utama khazanah dunia dan merupakan pemandu pertumbuhan pelancongan yang masih kurang digunakan oleh destinasi-destinasi di dunia.

Hubungan antara gastronomi dan pelancongan menyediakan landasan bagi penghantaran budaya di mana jika diurus secara betul boleh meningkatkan pembangunan ekonomi setempat dan pengalaman makanan serta amalan mapan, jelas Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali.

Oleh itu, pelancongan gastronomi mampu untuk membantu penjenamaan dan memasarkan destinasi serta juga membantu mengekalkan dan memulihara tradisi, menghargai keaslian dan kepelbagaian masyarakat setempat.

Antara pengusaha industri makanan dan minuman serta para jemputan yang hadir pada forum berkenaan.
Antara pengusaha industri makanan dan minuman serta para jemputan yang hadir pada forum berkenaan.

Beliau berkata, hubungan antara budaya dan makanan merupakan satu faktor motivasi yang penting bagi pelancong dan ia juga mampu menjadi pemangkin pelancongan mapan di mana pelancongan gastronomi mampu mengetengahkan ciri-ciri keaslian utama satu-satu destinasi itu.

Bagi Negara Brunei Darussalam, penganjuran Minggu Gastronomi Brunei bermatlamat untuk meraikan kepelbagaian cita rasa makanan Brunei dahulu dan akan datang.

Acara seperti minggu gastronomi itu, ujarnya, amat penting sebagai acara yang boleh mempromosikan dan meletakkan Brunei sebagai sebuah destinasi pelancongan pilihan serta menempatkan hidangan Brunei sebagai nilai tambah pelancongan.

Di samping itu, beliau juga ingin mengingatkan kepada mereka yang terlibat dalam industri makanan dan minuman untuk terus mengamalkan standard etika yang tinggi dalam penyediaan makanan.

Mereka bukan sahaja menumpukan pada cita rasa makanan yang disajikan sahaja tetapi juga untuk mengambil kira nilai khasiat hidangan dalam menu mereka supaya mereka dapat menyumbang kepada usaha untuk membangunkan sebuah negara dan masyarakat yang lebih sihat.

Forum bertemakan Membangunkan Perniagaan Makanan dan Minuman Awda, Cabaran, Inovasi dan Peluang itu mengetengahkan sesi perbincangan bersama beberapa orang ahli panel yang berpengalaman dan pakar dalam industri makanan dan minuman termasuk Pengurus Besar RBC, Ahmad Husaini bin Hassan; Pengurus Besar Hotel Radisson, Jerome van Helden; Pengurus Jualan dan Pemasaran Food Panda, Nabil Ibrahim dan Pengurus Besar Ideal Cafe & Grill, Hajah Norizmah binti Haji Awang Morshi.

ARTIKEL YANG SAMA