Pelancongan Islam harus padan dengan nama

Pelancongan Islam harus padan dengan nama

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Okt – Pelancongan Islam mestilah mengikut namanya, bukan sekadar sedap bahasa (retorik), hanya dengan demikian Pelancongan Islam akan dihormati dan akan berpanjangan, kerana tiada kecacatan padanya.

Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Paduka Ahmad Bukhari bin Pehin Siraja Khatib Haji Abu Hanifah semasa menyarankan strategi untuk Pelancongan Islam, berkata, khazanah warisan Islam negara juga mestilah dipulihara, wujudkan destinasi pelancongan Islam dan jalankan dakwah dan tabligh untuk menanamkan minat kepada masyarakat sasaran.

Beliau membuat saranan ini ketika membentangkan kertas kerjanya pada Persidangan Pelancongan Islam Sedunia dengan tajuknya Islamic Knowledge Heritage Tourism, sebagai sebahagian daripada Persidangan dan Ekspo Pelancongan Islam Sedunia 2015 (WITCX 2015) yang berlangsung di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, bermula 27 Oktober lalu hingga hari ini.

Rombongan negara ke acara berkenaan merangkumi pegawai-pegawai Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Jabatan Mufti Kerajaan, Penerbangan Diraja Brunei, Darussalam Holdings Sdn Bhd dan Freme Travel Services yang dijangka pulang ke tanah air esok (31 Oktober).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, semasa pameran berkenaan, Pavilion Brunei telah menonjolkan Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BPIS) dan pembinaan bangunan kekalnya yang dijadualkan siap pada suku pertama 2017.

Delegasi Brunei terdiri daripada Jabatan Mufti Kerajaan, syarikat penerbangan RB, Darussalam Holdings dan Freme Travel Services.
Delegasi Brunei terdiri daripada Jabatan Mufti Kerajaan, syarikat penerbangan RB, Darussalam Holdings dan Freme Travel Services.

Rombongan negara telah berjaya mempromosi Brunei sebagai Kingdom of Unexpected Treasure, dengan berbagai-bagai aktiviti termasuk business matching, taklimat di hadapan organized tour, melayan pengunjung, menghadiri tiga persidangan/ forum iaitu Persidangan Pendidikan Tinggi OIC, Persidangan Pelancongan Islam Sedunia dan Forum Perdagangan dan Ekonomi Asia OIC.

Secara keseluruhannya, persembahan pameran di Pavilion Brunei memang mendapat perhatian dan sambutan warga kota dan orang-orang yang berkepentingan dari seluruh dunia.

Di antara pembesar Malaysia yang berkunjung termasuklah Menteri Besar Kedah, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mukhriz bin Mahathir; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Yang Berhormat Datuk Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Hal Ehwal Ugama Islam, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir bin Baharom yang rata-ratanya menyatakan kekaguman tentang perlaksanaan pembinaan bangunan BPIS.

Delegasi Brunei juga menghadiri makan malam menjalin rangkaian yang dihoskan oleh Universiti Islam Malaysia (UIM). Pada majlis tersebut, wakil dari Suruhanjaya Tinggi Brunei di Kuala Lumpur merupakan antara penerima Benevolence Award kerana sokongan Brunei kepada UIM.

ARTIKEL YANG SAMA