Pelancongan Islam mampu jana ekonomi berkesan

Pelancongan Islam mampu jana ekonomi berkesan

KUALA NERUS, 14 Sept (Bernama) – Bidang pelancongan Islam kini menjadi trend baru dalam industri pelancongan yang mampu menghasilkan dan memberi banyak faedah kepada pemain industri ini di seluruh dunia, kata Ketua Pengarah Islamic Tourism Center (ITC) Zulkifly Mohd Said

Menurutnya, ketika ini terdapat kira-kira 1.6 bilion penduduk Islam di lebih 50 buah negara yang merupakan potensi pasaran yang cukup besar.

“Laporan Ekonomi Islam Global 2014/2015 yang disediakan bersama Thomson Reuters dan Standard Dinar, sebuah jururunding strategi penyelidikan menyatakan bahawa umat Islam membelanjakan kira-kira AS$140 bilion untuk perjalanan dan pelancongan pada tahun lalu.

“Jumlah perbelanjaan itu melibatkan sebanyak 11.5 peratus daripada jumlah perjalanan dan perbelanjaan pelancongan global,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Pelancongan Memperkasa Belia dalam Pelancongan Islam di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, yang dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar.

Zulkifly berkata, menurut kajian yang dijalankan Crescentrating dan Mastercard pula, Malaysia telah dipilih sebagai Top OIC Destination of Global Muslim Travel Index (GMTI) bagi lima tahun berturut-turut berikutan kesediaan yang tinggi oleh produk dan perkhidmatan Mesra-Islam.

Katanya daripada 27 juta pelancong yang mengunjungi negara ini tahun lepas, kira-kira lima juta adalah pelancong Muslim.

Menyedari kepentingan pasaran yang menguntungkan itu, katanya peserta industri tempatan telah mula berusaha meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan berkaitan pelancongan.

Katanya ramai yang sudah berminat untuk mendalami ilmu berkaitan pelancongan Islam termasuk pelajar dan belia di negara ini.

“Oleh itu pada tahun ini, Pusat Pelancongan Islam (ITC) akan mengadakan program kepada belia untuk memberi taklimat ringkas berkaitan pelancongan Islam dan industri pelancongan secara umum kepada generasi muda yang berminat untuk melanjutkan kerjaya mereka dalam industri itu,” katanya.

Seminar sehari itu melibatkan 350 pelajar dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Inforana dan UnisZA sebagai tuan rumah.