Pelancongan sejarah

Pelancongan sejarah

TERLEBIH dahulu saya harap pembaca tidak menyalah tafsir perkataan WARISAN dengan WAWASAN kerana kedua-duanya penting terhadap pembangunan masyarakat dan kemajuan negara.

Dalam warkah ini, saya ingin bawa pembaca sekalian meninjau tempat-tempat pameran dan warisan negara khususnya yang di bawah seliaan Jabatan Muzium-Muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Kita ada Muzium Teknologi Melayu, Muzium Maritim, Bangunan Alat Kebesaran Diraja, Galeri Sukan Negara, Taman Warisan Tasik Merimbun, Taman Rama-rama Tasik Merimbun dan Muzium Kuala Belait yang bakal dirasmikan operasinya tidak lama lagi.

Syukur Alhamdulillah, tempat-tempat tersebut dijaga baik dan rapi walaupun sekarang pihak Jabatan mengalami kekurangan petugas apatah lagi dapat dihitung dengan jari pencari-pencari jawatan kosong yang berminat dalam hal ehwal sejarah serta kaji purba.

Yang lebih menyedihkan, keadaan Bubungan Duabelas di ibu negara, Istana Pantai di Pantai Seri Kenangan Tutong dan Muzium Negara yang masih lagi ditutup kepada umum atas alasan renovasi yang entah bila akan selesai.

Inilah titik hitam yang sering menconteng arang terhadap usaha negara menarik pelancong untuk membuat lawatan dan kajian, khususnya mereka yang menjurus ke arah pelancongan sejarah (historical tourism).

Di mana peranan dan usaha Jabatan Muzium-Muzium ke arah pengekalan operasi dan kegemilangan tempat-tempat bersejarah ini selama ini?

Yang menghiris hati saya apabila melihat keadaan University House yang sudah jelas dipinggirkan oleh pemilik asalnya (Universiti Brunei Darussalam) dan dibiarkan ditumbuhi semak samun dan hutan belantara, walaupun pada hakikatnya ianya hanya tidak sampai dua kilometer dari pusat bandar dan lokasinya dapat disaksikan dari Kampong Ayer.

Apa kita sebagai rakyat dan penduduk negara sudah seperti kacang lupakan kulit, melihat jauh ke depan tapi sudah mudah melupakan asal-usul kita dan sejarah negara yang telah menghidupkan dan membesarkan kita? Mana perginya semangat patriotik yang malar dilaung-laungkan setiap kali perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan berlangsung? Mungkin sudah pun lama dilupakan kerana Hari Kebangsaan itu hanya sehari saja walaupun pada hakikatnya, tema yang diuar-uarkan boleh digunakan sepanjang tahun. Renungkanlah dan buat tindakan yang sewajarnya lagi bijaksana. – Pemerhati Prihatin, Bunut

ARTIKEL YANG SAMA