Pelanduk lupakan jerat

Pelanduk lupakan jerat

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Nov – Pelanduk lupakan jerat. Mungkin pepatah ini sesuai untuk seorang lelaki tempatan yang dijatuhi hukuman tiga tahun enam bulan penjara dan dua sebatan oleh Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, setelah didapati bersalah terhadap pertuduhan menyeludup keluar seorang warga Indonesia ke Malaysia.

Muhamad Zulfadilah bin Harun, 29, turut dikenakan denda $1 oleh Hakim Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli yang memberinya tempoh seminggu untuk membayar denda itu, dan jika gagal berdepan tambahan tujuh hari penjara.

Tertuduh sebelum ini pernah melakukan kesalahan yang sama pada Mei 2015 apabila membantu rakan sejenayahnya untuk menyeludup keluar dua lelaki warga Bangladesh dari Brunei melalui Pos Kawalan Sungai Tujoh. Namun, dia dibebaskan dari tuduhan itu pada 1 Jun 2016.