Pelanggan AS beralih kepada SUV

Pelanggan AS beralih kepada SUV

SELERA penggemar kereta di Amerika Syarikat (AS) yang beralih daripada sedan kepada SUV kelihatan mula menebal dengan pembuat kereta pun turut bergegas memenuhi permintaan pelanggan. Toyota, Ford, Subaru, Jeep dan Volkswagen masing-masing mempamerkan SUV baru pada Pameran Kereta Los Angeles, baru-baru ini. Malah pembuat kereta mewah tradisional seperti Jaguar dan Alfa Romeo mula berjinak-jinak dengan mengetengahkan SUV pada pameran yang dibuka kepada orang ramai Jumaat lalu.

Warga Amerika membeli lebih banyak SUV berbanding kereta empat pintu buat kali pertama tahun lepas, dan momentum itu semakin meningkat, menurut data pendaftaran dari IHS Markit. Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, SUV menyumbang 39.5 peratus daripada pendaftaran kenderaan baru dan kereta biasa pula hanya 32 peratus.

Tidak seperti ledakan SUV sebelumnya pada awal tahun 2000, yang menjadi mangsa kepada kenaikan harga bahan api, tetapi momentum kali ini dijangka kekal kerana pembuat menawarkan SUV lebih kecil dengan ekonomi bahan api yang lebih baik.

Sedan paling laris, Toyota Camry, mencatatkan penggunaan bahan api 28 batu segelen untuk pemanduan campuran lebuh raya dan bandar. SUV kecil paling laris, Honda CR-V, pula memberikan jarak 29 baru segelen.

“Tidak ada sebab untuk tidak membeli sebuah SUV. Saya tidak boleh membayangkan senario di mana trend ini akan berubah,” kata Rebecca Lindland, seorang penganalisis kanan Kelley Blue Book.

Berikut adalah beberapa SUV yang menghiasi Pameran Kereta Los Angeles dengan penyertaan daripada pembuat kereta mewah konvensional yang pantas menghidu selera pelanggan.

Alfa Romeo Stelvio

Dinamakan sempena satu laluan pergunungan di Itali yang dikenali dengan selekoh tajam, SUV saiz sederhana Stelvio mempunyai jeriji segi tiga tersendiri Alfa dan lekuk yang bergaya. Di bawah hud adalah enjin 2.0 Liter, 280-kuasa kuda empat silinder dengan transmisi lapan kelajuan. Pembeli juga boleh memilih barisan tertinggi Stelvio Quadrifoglio dengan enjin V6, 2.9 Liter yang menghasilkan 505 kuasa kuda. Pacuan semua roda adalah standard pada semua model SUV Alfa ini. Stelvio, yang akan dibuat di Itali, dijual awal tahun depan tetapi harganya tidak didedahkan.

Ford Ecosport

SUV Ford paling damit yang telah dijual di pasaran lain sejak 2003, akhirnya akan dijual di Amerika Utara pada 2018. Ia akan bersaing dengan pendatang baru damit yang lain seperti Chevrolet Trax dan Honda HR-V. Untuk menyasarkan pembeli muda, EcoSport menawarkan 10 warna luaran, tujuh pilihan pencahayaan dalaman dan pilihan Apple CarPlay dan Android Auto. Ia didatangkan sama ada dengan enjin 1.0 Liter, tiga silinder turbocharged atau 2.0 Liter empat silinder dengan pacuan empat roda. Harga tidak didedahkan tetapi EcoSport kurang mahal berbanding Escape Ford, yang bermula dari AS$23,600. EcoSport akan dibuat di India.

Jaguar I-Pace Concept

Jaguar cuba menyaingi Tesla Motors dengan SUV elektrik yang akan dikeluarkan pada 2018. SUV kompak lima tempat duduk I-PACE ini sedikit damit berbanding F-Pace berkuasa gas dan Tesla X. Ia dijangka boleh bergerak sejauh 220 batu dengan sekali cas dan mempunyai motor elektrik di depan dan gandar belakang yang memberikan 400 kuasa kuda dan zoom 0-60 batu sejam hanya dalam 4 saat. Harga SUV ini pun tidak didedahkan.

Jeep Compass

SUV baru Jeep Compass damit menggantikan Patriot dan Compass yang sudah ada di bilik pameran Jeep. Jeep mendedahkan Compass global baru di Brazil September lalu dan ia kelihatan seperti versi Grand Cherokee. Yang lebih kecil, tetapi butiran lain versi AS dirahsiakan. Compass akan dijual di AS pada Mac tahun depan.

Mazda CX-5

Mazda telah mereka bentuk semula SUV saiz sederhana CX-5 yang akan dijual di Jepun Februari depan dan di AS selepas itu. CX-5 mempunyai gril baru dengan lampu damit, bersih dan tidak banyak lekukan. Menurut Mazda, dinamik pemanduan bertambah baik dan bahagian dalamannya lebih selesa. Pelanggan boleh memilih enjin gas 2.0 liter atau 2.5 liter empat silinder, tetapi buat kali pertama, Mazda juga akan menawarkan enjin diesel di AS yang akan dijual pada separuh kedua 2017. Harga CX-5 baru tidak didedahkan tetapi harga semasa CX-5 bermula pada AS$ 21,795.

ATAS & BAWAH: Pembuat kereta di AS lebih cenderung mengeluarkan SUV sehingga pengeluar kereta mewah tradisional pun terikut-ikut dengan trend terkini. – AP
ATAS & BAWAH: Pembuat kereta di AS lebih cenderung mengeluarkan SUV sehingga pengeluar kereta mewah tradisional pun terikut-ikut dengan trend terkini. – AP

Mini Countryman

Generasi kedua crossover damit Countryman adalah Mini terbesar yang pernah dikeluarkan. Countryman 8 inci lebih panjang berbanding model yang akan dihentikan pengeluarannya dengan 30 peratus lebih luas ruang kargo. Pembeli boleh memilih model 134 kuasa kuda, enjin tiga silinder atau 189 kuasa kuda empat silinder; transmisi automatik dan manual juga boleh didapati. Mini Countryman akan dijual pada bulan Mac; versi hibrid plug-in akan menyusul pada bulan Jun. Harganya tidak dide-dahkan tetapi Countryman semasa bermula dari AS$22,750.

Subaru Viziv 7 Concept

Subaru merancang untuk menjual tiga SUV berturut-turut pada awal 2018 dan bakal menjadi kenderaan terbesar jenama itu. Seperti SUV Subaru yang lain, VIZIV7 konsep mempunyai standard pacuan semua roda dengan enjin boxer. Syarikat itu berkata, maklumat lanjut akan didedahkan tahun depan.

Toyota C-HR

Toyota juga menyertai pasaran subcompact SUV dengan C-HR, yang bermaksud ‘Coupe High Rider’. C-HR, yang sudah dijual di Eropah mempunyai gaya sudut yang berani dan garis bumbung terapung yang akan memeriahkan pameran konservatif Toyota. Eropah mempunyai versi hibrid tetapi Toyota belum lagi berkata enjin mana yang akan ditawarkan di AS. C-HR akan dijual pada musim bunga. Harga SUV ini pun tidak didedahkan tetapi ia akan bermula di bawah RAV4 yang bermula dari AS$24,910.

Volkswagen Atlas

Tiga barisan pertama berturut-turut SUV mengisi lompong yang besar dalam barisan produk Volkswagen. Atlas tujuh penumpang yang akan dijual pada musim bunga, didatangkan dengan dua pilihan; 2.0 Liter, 238 kuasa kuda empat silinder atau V6 280 kuasa kuda, 3.6 liter. Kedua-duanya dipasangkan dengan transmisi lapan kelajuan. Pacuan semua roda juga tersedia dan Volkswagen berkata ciri-ciri keselamatan seperti brek kecemasan automatik, amaran perlanggaran hadapan dan amaran bertukar lorong akan menjadi pilihan yang berpatutan. Atlas yang akan dibina di Tennessee itu juga tidak didedahkan harganya. – AP

ARTIKEL YANG SAMA