Pelanggan Baiduri diperkenalkan dengan saham AS

Pelanggan Baiduri diperkenalkan dengan saham AS

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mac – Seramai 150 pelanggan Baiduri Capital diperkenalkan dengan perdagangan saham Amerika Syarikat yang dikenali dengan Bursa Saham New York (NYSE), Pasaran Saham NASDAQ termasuk NYSE MKT LLC (AMEX), hari ini.

Majlis yang berlangsung di Dewan Utama Indera Samudra, The Empire Hotel & Country Club itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Pierre Imhof yang mana dalam ucapan beliau menekankan, Baiduri sentiasa menyediakan pelbagai pilihan dan peluang untuk membantu mempelbagaikan portfolio.

Beliau seterusnya menambah, dengan pelancaran akses ini, pelanggan Baiduri Capital akan mendapat peluang untuk melabur dalam syarikat-syarikat besar dan jenama dari seluruh dunia yang menyenaraikan saham mereka dalam pasaran kewangan Amerika Syarikat (AS).

Di seminar itu, pelanggan juga diperkenalkan mengenai Pasaran Saham AS yang disampaikan oleh Pengurus Pembangunan Korporat dalam Pengurusan Sekuriti dan Harta Phillip Securities Singapura, Gavin Chia.

Antara lain yang disampaikan oleh Gavin Chia di seminar itu merangkumi sejarah ringkas pasaran saham AM, bursa, indeks dan juga waktu dagangan serta kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan perdagangan di Bursa AS.

Antara pelanggan Baiduri Capital yang menghadiri seminar itu.
Antara pelanggan Baiduri Capital yang menghadiri seminar itu.
Gavin Chia semasa menyampaikan pengenalan mengenai pasaran saham AS.
Gavin Chia semasa menyampaikan pengenalan mengenai pasaran saham AS.

Turut hadir di seminar itu, Pengarah-pengarah Baiduri Capital, Tin Eng Hui, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha dan Pengarah Urusan Baiduri Capital, Peng Eng Soon.

Baiduri Capital yang merupakan sebuah anak syarikat milik penuh Bank Baiduri, secara rasmi dibuka kepada orang ramai pada September tahun lepas yang menyediakan akses online kepada pelanggan bagi tiga bursa saham utama, SGX (Singapura), HKEx (Hong Kong) dan Bursa Malaysia.

Manakala Bursa Saham New York (NYSE), Pasaran Saham NASDAQ, NYSE MKT LLC (AMEX) boleh diakses dengan selamat di Baiduri Capital, sekuriti portal perdagangan bermula hari ini.

Sempena acara ini, untuk tempoh terhad enam bulan bermula 18 Mac hingga 18 September 2016, sebanyak 20 peratus daripada caj tarif bagi dagangan yang dilakukan ke atas ketiga-tiga Bursa Saham Amerika Syarikat, dimansuhkan.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin mengetahui keterangan lanjut mengenai produk dan perkhidmatan Baiduri Capital sila layari laman sesawang di www.baiduri.com/baiduricapital atau menghubungi di talian 2268825 semasa waktu bekerja atau mengikuti Bank Group Facebook atau @baiduribank melalui Instagram dan Twitter.

ARTIKEL YANG SAMA