Pelanggan Baiduri sertai seminar

Pelanggan Baiduri sertai seminar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Kira-kira 150 orang pelanggan Bank Baiduri berpeluang untuk mengikuti kegiatan penuh bertenaga dan menarik dalam Seminar Lima Kaedah Menuju Kesejahteraan yang diadakan di Restoran Seasons, Gadong, hari ini.

Seminar yang dihoskan oleh Pusat Pengurusan Harta, Bank Baiduri, itu merupakan salah satu cara bagi bank berkenaan untuk membantu pelanggan mereka meningkatkan lagi kesihatan supaya dapat mencapai matlamat dan impian mereka.

Ketua Perbankan Runcit, Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha dalam kata alu-aluannya melahirkan penghargaan atas kerjasama yang dijalin oleh Bank Baiduri dan Pusat Promosi Kesihatan dalam sama-sama untuk membantu pelanggan bank berkenaan mencapai kehidupan yang sihat dan kesejahteraan yang mereka impikan.

Beliau berharap di akhir seminar itu, mereka akan memperoleh semangat dan inspirasi untuk membuat keputusan yang dapat membantu mereka mencapai kesejahteraan dalam kehidupan mereka pada masa akan datang.

Dalam majlis berkenaan, para peserta seminar berpeluang untuk mendengar ceramah yang bertajuk ‘Berfikiran Positif dan Kesejahteraan’, yang disampaikan oleh wakil dari Pusat Promosi Kesihatan, Dr. Norhayati binti Haji Ahmad.

Pengiran Azaleen (kiri) bersama para pelanggan terlibat dalam salah satu aktiviti seminar tersebut.
Pengiran Azaleen (kiri) bersama para pelanggan terlibat dalam salah satu aktiviti seminar tersebut.

Para peserta juga mendengar kisah benar kehidupan yang dikongsikan oleh Sandra Tang bertajuk ‘How Life Insurance Helped My Family’, di mana bukan sahaja beliau mengongsikan cabaran dan ketabahan dalam menempuh pelbagai halangan dalam kehidupannya tetapi diharap menerusi ceritanya itu, para peserta akan mengambil langkah-langkah bijak sebagai persediaan menghadapi masa depan mereka.

Selain daripada mendengar ceramah dan perkongsian cerita, para peserta juga berpeluang untuk menyaksikan pameran khas yang mengetengahkan hasil kraf dan seni artis tempatan seperti The Fairy Jars dan Little Red Designs.

Acara seminar itu, dihasratkan untuk menunjukkan kepada pelanggan-pelanggan Bank Baiduri bahawa untuk mencapai kesejahteraan, mereka perlu mencapai kesihatan kewangan dan juga untuk sentiasa mempunyai pandangan yang positif serta tidak lupa untuk menikmati kesemua benda menawan yang boleh ditawarkan oleh kehidupan.

Ketua Pengurusan Harta Bank Baiduri, Peng Eng Soon dipetik menyatakan bahawa Bank Baiduri sentiasa menggalakkan pelanggan mereka untuk menikmati kehidupan dan juga untuk mencapai matlamat kewangan mereka.

Oleh itu, beliau yakin bahawa tidak terlewat bagi mereka untuk merancang masa depan kewangan dan menggalakkan mereka untuk menanam tabiat menyimpan dan memulakan perancangan kewangan dari awal lagi.