Pelanggan bertuah SCB terima hadiah

Pelanggan bertuah SCB terima hadiah

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Lima lagi pelanggan bertuah menerima hadiah masing-masing dalam cabutan kedua bagi Promosi Simpanan Bank Standard Chartered (SCB), pada majlis yang berlangsung di cawangan SCB Gadong.

Pada majlis itu, pemenang utama, Lim Soon Bee membawa pulang hadiah berupa Samsung Galaxy A7, diikuti oleh Goo Han Leong di tempat kedua yang memenangi iPad Mini 3G + WiFi, manakala itu tiga lagi menerima baucar membeli-belah bernilai $200, iaitu Yap Yuck Lan, Lim Ya Chee dan Awang Mohamad Diwa bin Mohamad Yacob.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Segmen dan Pinjaman Runcit, Cheok Fui Say.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh SCB, pada penghujung promosi ini, seramai 20 orang pelanggan akan menerima ganjaran.

Promosi berkenaan merupakan kempen yang membolehkan pelanggan mendapat faedah bonus pendapatan apabila mereka mencapai baki tambahan dalam Akaun Semasa atau Simpanan.

Cheok Fui Say (dua kiri) bergambar bersama para pemenang cabutan bertuah SCB.
Cheok Fui Say (dua kiri) bergambar bersama para pemenang cabutan bertuah SCB.

Pelanggan yang memilih untuk menetapkan deposit tempoh tetap dalam mata wang Brunei, Australia atau New Zealand akan mendapat kadar faedah promosi bagi tetapan tenor enam bulan dan juga melayakkan diri untuk menyertai cabutan bertuah berkenaan.

Cheok Fui Say, dalam kenyataan berkenaan dipetik berkata, “Sebagai bank antarabangsa utama dalam pasaran, kami percaya bahawa kami mempunyai peranan besar dalam menggalakkan budaya menyimpan di Brunei.

“Kempen ini menawarkan insentif yang sangat besar kepada pelanggan untuk mula menyimpan dan melatih semangat disiplin yang lebih tegas bagi tabiat menyimpan mereka,” jelas beliau.

Menurut kenyataan itu lagi, cabutan utama promosi itu akan diadakan pada Januari 2016 dan para pelanggan yang telah memenangi hadiah dalam cabutan bonus masih layak untuk menyertai.

Hadiah-hadiah menarik dalam cabutan itu nanti termasuk penerbangan pergi balik untuk dua orang ke Bali, Indonesia termasuk penginapan di Hotel Bulgari, satu tiket penerbangan pergi balik ke Paris, tiket pergi balik ke Singapura, kerusi kulit LaZBoy dan Bang & Olufsen BeoPlay A8.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, SCB telah memperkenalkan promosi barunya iaitu ‘Priority Banking Sign Up’, dalam mana para pelanggan Perbankan Prioriti baru akan berpeluang untuk mendapatkan ganjaran tambahan apabila mereka melabur dalam deposit tetap, unit amanah (unit trust), deposit-deposit berstruktur atau bon.

Kempen baru yang bertujuan untuk menawarkan pilihan pelaburan dan kadar simpanan yang menarik kepada pelanggan ini berjalan dari sekarang sehingga 15 Disember.

Sepanjang tempoh promosi ini, para pelanggan baru Perbankan Prioriti akan menerima wang tunai $500 sebagai hadiah pendaftaran di samping ganjaran tambahan.

Menurut kenyataan itu, para pelanggan akan mendapat faedah bonus dan kadar faedah istimewa bagi promosi deposit tetap sedia ada, sementara itu, bagi setiap pelaburan $50,000 dalam unit amanah akan diberi ganjaran $5,000 ke atas di samping pengecualian bayaran bagi unit amanah apabila melabur dalam jumlah $5,000 ke atas.

Bagi deposit berstruktur dan bon, setiap $100,000 yang dilaburkan akan mendapat ganjaran wang tunai $300.

Bagi maklumat lanjut mengenai promosi-promosi berkenaan, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang www.sc.com/bn atau menghubungi Pusat Panggilan Pelanggan 24 jam di talian 2658000.

ARTIKEL YANG SAMA