Pelanggan BIB...

Pelanggan BIBD bawa pulang hadiah menarik

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jan – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), hari ini, telah menyampaikan hadiah kepada 10 orang pemenang cabutan bertuah bulanan pertama bagi kempen Ganjaran Barakah 7 yang kini memasuki pusingan kedua.

Pada majlis yang diadakan di Ibu Pejabat BIBD, di sini itu, dua orang menerima pakej penerbangan untuk dua orang yang merangkumi dua tiket penerbangan pergi balik ke Kuala Lumpur, tempat penginapan selama tiga hari dua malam, baucar membeli-belah RM1,000 di Mitsui Outlet Park, KLIA, Sepang, serta Mata Hadiah 50,000.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Produk Pembiayaan dari Kumpulan Perbankan Runcit BIBD, Wan Hefnie bin Haji Hamidon.

Menurut kenyataan BIBD, pusingan kedua kempen Ganjaran Barakah 7 telah bermula 1 Disember 2016 lalu dan akan berakhir penghujung Februari depan, dengan menawarkan hadiah-hadiah bulanan berupa peranti TV Apple.

Antara pemenang bertuah kempen Ganjaran Barakah 7 yang kini telah memasuki pusingan kedua.
Antara pemenang bertuah kempen Ganjaran Barakah 7 yang kini telah memasuki pusingan kedua.

Pada penghujung pusingan kedua, pelanggan BIBD akan dapat menyertai cabutan bertuah untuk memenangi hadiah utama berupa sebuah kereta 2017 Mercedes Benz E 200 AMG di samping hadiah-hadiah mewah lain seperti iPhone 7, iPad Pro atau iPhone SE.

Para pelanggan BIBD secara automatik dimasukkan dalam kempen berkenaan apabila menetapkan gaji mereka ke BIBD, memohon mana-mana pembiayaan, deposit berterma, kad-kad kredit atau Perdana BIBD.

Manakala itu, menurut kenyataan itu lagi, kempen BIBD Swipe For Rewards terbuka kepada semua pemegang kad BIBD (debit, kredit dan vCard). Setiap pembelian menggunakan mana-mana kad BIBD secara automatik akan mendaftarkan pemegang kad dengan satu penyertaan ke dalam cabutan bulanan bagi dua pemenang. Oleh itu, lebih banyak pembelian yang dilakukan akan melayakkan pemegang kad lebih banyak penyertaan.