Pelantikan ahli pengawasan kejiranan

Pelantikan ahli pengawasan kejiranan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 18 Ogos – Seramai 20 orang penduduk Kampung Pengkalan Mau/Bekiau telah dilantik menjadi ahli pengawasan kejiranan (PK) kampung berkenaan dan menerima surat lantikan masing-masing, hari ini.

Majlis Penyampaian Surat Lantikan Keahlian PK itu berlangsung di rumah kediaman Ketua Kampung Pengkalan Mau/Bekiau, Haji Mohd Taib bin Haji Jaludin yang juga dilantik menjadi Pengerusi PK berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sijil-sijil lantikan ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya.

Turut hadir ialah Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Supt Kanan Haji Chipli bin Haji Mohammad.

Sebelum majlis penyampaian surat lantikan, majlis juga mendengarkan taklimat PK dan taklimat kesedaran jenayah yang disampaikan oleh wakil dari Daerah Polis Tutong.

Haji Haizul Rizal menyampaikan sijil lantikan kepada Ketua Kampung Pengkalan Mau/Bekiau selaku Pengerusi Pengawasan Kejiranan Pengkalan Mau.
Haji Haizul Rizal menyampaikan sijil lantikan kepada Ketua Kampung Pengkalan Mau/Bekiau selaku Pengerusi Pengawasan Kejiranan Pengkalan Mau.

Ahli-ahli PK mempunyai peranan terlibat bekerjasama dengan Pasukan Polis Diraja Brunei dalam melaksanakan operasi sepadu dengan beberapa buah agensi kerajaan bagi mencegah kegiatan jenayah di kampung di samping membuat kerja-kerja kebajikan dalam membantu penduduk kampung.

Ia merupakan salah satu langkah kepolisian komuniti yang membolehkan masyarakat kampung mengawal dan menjaga keselamatan kawasan kediaman masing-masing dengan falsafah bahawa kesejahteraan kawasan sejiran akan menjamin kesejahteraan negara.

PK diperluaskan dengan pendekatan pembangunan masyarakat bagi memastikan perpaduan dan keharmonian hubungan dalam kalangan masyarakat akan terus berkekalan dan berterusan dengan tujuan untuk membolehkan penduduk setempat bantu-membantu dalam menghadapi masalah sosial, di samping merapatkan hubungan dengan warga Polis Diraja Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA