Pelantikan baru ahli MPP Maktab Duli Sesi 2016/2017

Pelantikan baru ahli MPP Maktab Duli Sesi 2016/2017

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Dean Kassim

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Seramai 81 orang pelajar Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) telah dipilih untuk menjadi ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2016/2017.

Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Tugas dan Pelantikan Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2016/2017 telah diadakan di auditorium maktab berkenaan, hari ini, yang mana majlis itu juga merupakan acara kemuncak bagi Kem Kepimpinan empat hari dikenali sebagai Kem WAJA yang bermula 21 hingga 25 April lalu.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Korporat), Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Azis bin Haji Nayan.

Juga hadir ialah Pemangku Pengetua Maktab Duli, Hajah Monaliza binti Haji Abdul Halim, timbalan-timbalan pengetua, guru kanan dan para pensyarah maktab, ahli-ahli PIBG serta ibu bapa pelajar yang diraikan.

Hajah Monaliza ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
Hajah Monaliza ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

Menurut Guru Kanan Hal Ehwal Pelajar, Dayang Faridah binti Abd Hamid yang juga selaku fasilitator program, WAJA merupakan akronim bagi Wibawa, Agama, Jauhari dan Amanah.

“Ini adalah kualiti yang diharapkan daripada ahli-ahli yang terpilih bagi Majlis Perwakilan Pelajar bagi sesi 2016/2017,” ujarnya.

Menjelaskan mengenai perkhemahan berkenaan, beliau berkata, aktiviti-aktivitinya termasuk meningkatkan kualiti kepimpinan para pelajar yang terpilih seperti membina kerja berpasukan, mengendalikan mesyuarat, meningkatkan kemahiran berkomunikasi serta pengurusan masa yang efektif dan banyak lagi.

Manakala itu, Hajah Monaliza dalam ucapannya pula melahirkan harapan agar para pelajar yang dilantik menanamkan semangat dalam diri untuk menjadi seorang pemimpin yang berwawasan dan sentiasa berusaha untuk mengekalkan kualiti diri baik dalam kepimpinan mahupun dalam pembelajaran.

“Para pemimpin muda ini diharap akan sentiasa menjalankan tanggungjawab mereka dengan amanah sesuai dengan moto Program Kepimpinan Pelajar ‘Ke Arah Pemimpin Pelajar Yang Berintegriti’.

“Pemimpin bukan hanya berpengetahuan dan berkemahiran tetapi juga amanah serta ikhlas dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka,” tegas beliau.

ARTIKEL YANG SAMA