Pelantikan MPK STKRJ Kampung Rimba

Pelantikan MPK STKRJ Kampung Rimba

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 April – Pemangku Ketua Kampung STKRJ Kampung Rimba, Awang Abd Wahab bin Timbang dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Kampung bagi Kawasan 4, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Rimba Gadong pada majlis pembubaran dan pelantikan AJK MPK berkenaan yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Rimba 1, di sini, pagi ini.

Timbalan Pengerusi kini dipegang oleh Haji Jamil bin Haji Gani.

Jawatan Setiausaha pula dipegang oleh Pengiran Tengah bin Pengiran Haji Puteh; Haji Mohd Noor bin Haji Hamid (Penolong Setiausaha) sementara Haji Abdul Mutalip bin Haji Metussin dilantik sebagai Bendahari.

Terdahulu, Mohammad Isa Haji Marsidi yang sebelum ini merupakan Penolong Setiausaha menarik diri sebagai Timbalan Pengerusi yang baru, sekalipun mendapat undian tertinggi susulan aduan bahawa beliau tidak lagi bermastautin di kampung tersebut.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Mohammad Isa berkata, beliau telah tinggal di RPN Kampung Rimba iaitu di rumah kediaman bapanya dan di Kampung Salar iaitu di rumah sewa kerajaan atas nama isteri beliau.

Barisan AJK MPK Kawasan 4, Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba Gadong bergambar ramai.
Barisan AJK MPK Kawasan 4, Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba Gadong bergambar ramai.

Bagaimanapun, beliau secara peribadi menarik balik pelantikan selaku Timbalan Pengerusi yang telah dicalonkan oleh Haji Mohd Noor bin Haji Hamid itu dengan undian tertinggi daripada MPK.

Menurutnya, selama 16 tahun bermastautin di kampung tersebut, beliau telah mengaktifkan kawasan Simpang 82 dan Jalan 82 dan sekitarnya dengan acara-acara seperti Majlis Membaca Tahlil dan Doa Arwah, Majlis Bertadarus ke rumah-rumah sempena bulan Ramadhan dan Majlis Korban dan Aqiqah.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua AJK MPK yang baru dan mendoakan AJK MPK akan berjalan dengan lancarnya.