Pelantikan, pertukaran pegawai kanan

Pelantikan, pertukaran pegawai kanan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Jan – Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri semalam telah memaklumkan pelantikan dan pertukaran pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Atas titah perkenan Baginda Sultan, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman telah ditukar untuk memegang jawatan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), di Kementerian Pendidikan.

Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh pula dilantik menjadi Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz, dilantik menjadi Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Timbalan Naib Canselor UBD, Prof Madya Dr Azman bin Haji Ahmad pula telah ditukar menjadi Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan. Tarikh pelantikan dan pertukaran pegawai-pegawai tersebut berkuat kuasa mulai 18 Rabiulakhir 1437 bersamaan dengan 28 Januari 2016.

ARTIKEL YANG SAMA