Pelarian HK seru pengampunan Snowden

Pelarian HK seru pengampunan Snowden

HONG KONG, 25 Sept – Aktivis dan pelarian hari ini mengadakan bantahan di Hong Kong menyeru Washington untuk memaafkan pelarian yang juga pemecah rahsia, Edward Snowden, dengan pembantah menggelar pelarian di bandar itu sebagai ‘wira’ kerana membantunya menghindari pihak berkuasa dalam 2013.

Bekas kontraktor Agensi Keselamatan Kebangsaan itu yang mendedahkan beribu-ribu dokumen sulit mendedahkan pemantauan besar AS yang dilaksanakan selepas serangan 11 September, pada masa ini tinggal di Rusia.

Dia melarikan diri dengan dokumen-dokumen penting ke Hong Kong di mana dia bersembunyi dalam kalangan pelarian Sri Lanka dalam sebuah penempatan sesak, dan kemudiannya menerima suaka politik di Rusia selepas Amerika Syarikat menarik balik pasportnya semasa dia dalam perjalanan ke Ecuador.

The New York Times melaporkan dia tinggal bersama sekurang-kurangnya empat pelarian dengan bantuan peguam hak asasi manusia di selatan bandar China.

Pembantah mengatakan pelarian bandar itu, ramai daripadanya terpaksa tinggal dalam keadaan rumah setinggan, dan Snowden, masing-masing mengalami penganiayaan hak asasi manusia.

Penggubal undang-undang Leung Kwok-hung (tengah) juga dikenali sebagai Si Rambut Panjang, bercakap di luar Konsulat Amerika Syarikat semasa satu rapat dianjurkan oleh Kumpulan Bertindak Sosialis dan Liga Sosial Demokrat menyeru bagi pengampunan presiden ke atas Edward Snowden. – AFP
Penggubal undang-undang Leung Kwok-hung (tengah) juga dikenali sebagai Si Rambut Panjang, bercakap di luar Konsulat Amerika Syarikat semasa satu rapat dianjurkan oleh Kumpulan Bertindak Sosialis dan Liga Sosial Demokrat menyeru bagi pengampunan presiden ke atas Edward Snowden. – AFP

“Kami dipaksa untuk meninggalkan negara kami seperti Snowden. Kami bersatu dengannya untuk memperjuangkan pengampunan,” kata seorang pelarian berusia 36 tahun dari Indonesia, yang hanya memberikan namanya sebagai Dede, memberitahu AFP.

Kira-kira 50 pembantah melaungkan ‘Ampunkan Snowden’ dan ‘Kami bukan penjenayah’ ketika mereka berarak ke konsulat AS, dengan beberapa daripadanya memegang pelekat yang bertulis, ‘Tiada rasisme. Hentikan Menindas Pelarian.’

Penganjur bantahan itu mengatakan 11,000 pelarian mempunyai permohonan untuk perlindungan tertangguh, namun tiada mempunyai status rasmi dan tidak berhak bekerja.

“Kerajaan Hong Kong menganggap pelarian adalah penjenayah…namun mereka sebenarnya adalah wira sebenar. Mereka membantu Edward Snowden melarikan diri daripada kerajaan AS pada 2013,” kata Sally Tang dari kumpulan Bertindak Sosialis memberitahu wartawan pada rapat itu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA