Pelarian profesional, separa mahir diutamakan

Pelarian profesional, separa mahir diutamakan

WASHINGTON DC, 8 Okt (Bernama) – Malaysia akan mengutamakan pelarian Syria daripada kumpulan profesional atau separa mahir dalam pengambilan yang akan dilakukan secara berperingkat selama tiga tahun, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata Kementerian Dalam Negeri sedang merangka prosedur bagi pengambilan 3,000 pelarian Syria.

“Ini adalah komitmen Malaysia kepada masyarakat antarabangsa,” kata Ahmad Zahid sebagai susulan kepada pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menerima 3,000 pelarian Syria, semasa berucap pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York 1 Okt lepas.

Sambil mengimbas dalam ucapannya mengenai mayat Alyan Kurdi berusia tiga tahun terdampar di pantai, Najib berkata masyarakat dunia tidak seharusnya berpeluk tubuh dan melihat sahaja masalah orang pelarian ke merata negara Eropah sekarang.

Dianggarkan lebih empat juta penduduk Syria menjadi orang pelarian kerana melarikan diri daripada perang saudara yang berlaku di negara itu.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan kakitangan Kedutaan Malaysia semasa tiba di kediaman rasmi Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat dalam lawatan kerja beliau selama 4 hari di sana – Bernama
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan kakitangan Kedutaan Malaysia semasa tiba di kediaman rasmi Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat dalam lawatan kerja beliau selama 4 hari di sana – Bernama

Ahmad Zahid juga berkata komitmen Malaysia kali ini jauh lebih besar berbanding yang pernah dilakukan semasa perang di negara-negara Balkan apabila negara ketika itu menerima 200 orang mangsa perang dari Bosnia Herzegovina.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada wartawan Malaysia sebaik sahaja memulakan lawatan kerja beliau ke pusat petadbiran Amerika Syarikat Rabu.

Semasa di sini, beliau akan menandatangani dokumen Arahan Presiden Keselamatan Negara No 6 (HSPD-6) bersama Setiausaha Negara AS John Kerry, yang merupakan antara prosedur terakhir bagi membolehkan Malaysia diterima sebagai negara ke-39 dalam program pengecualian visa untuk melawat Amerika Syarikat.

Pengumuman mengenainya dijangka dibuat semasa lawatan Presiden Barack Obama ke Malaysia yang dijadual bulan depan. Menurut Ahmad, jika visa dikecualikan, ia terpakai kepada semua golongan rakyat Malaysia yang layak berkunjung ke Amerika Syarikat.

Katanya, Malaysia sudahpun mematuhi sebahagian besar senarai semakan ke arah mendapatkan pengecualian visa tersebut, cuma keperluan tahap penolakan permohonan visa hendaklah tidak melebihi tiga peratus berbanding sekarang berada pada tahap 4.2 peratus.

Tetapi, menurut Ahmad Zahid, keadaan ini lebih bersifat teknikal yang berkait dengan kefahaman semasa mengisi borang permohonan, dan bukannya isu keselamatan.

ARTIKEL YANG SAMA