Pelarian Syria dalam keadaan terdesak

Pelarian Syria dalam keadaan terdesak

ONCUPINAR, Turki, 8 Feb – Puluhan ribu rakyat Syria terkandas di sempadan dengan Turki hari ini selepas melarikan diri dari serangan kerajaan yang disokong Rusia di Aleppo, ketika Canselor Jerman bersiap sedia untuk mengadakan lawatan ke Ankara untuk menggesa bagi kawalan sempadan lebih ketat.

Turki telah berikrar akan membantu orang ramai, termasuklah ramai wanita dan kanak-kanak, tetapi tidak membuka sempadannya dan agensi bantuan memberi amaran mereka berdepan keadaan ‘terdesak’ ketika mereka menantikan bantuan.

“Turki telah mencapai had kapasitinya untuk menerima pelarian,” Timbalan Perdana Menteri Numan Kurtulmus memberitahu televisyen Turki CNN.

“Tetapi akhirnya mereka ini tidak ada tempat hendak dituju. Sama ada mereka akan mati dalam pengeboman atau kami akan membuka sempadan kami.

“Kami tidak akan memberitahu mereka untuk tidak datang. Jika kami berbuat demikian, kami akan membiarkan hingga mereka menemui ajal.”

Kanak-kanak pelarian Syria yang kini terkandas di sempadan Turki. - Reuters
Kanak-kanak pelarian Syria yang kini terkandas di sempadan Turki. – Reuters

Seberang sempadan Oncupinar, Turki yang berhadapan kawalan sempadan Bab al-Salama di Syria, masih ditutup semalam ketika ribuan pelarian berhimpun di sana bagi hari ketiga, menanti pagar dibuka.

Dengan membawa beberapa barangan milik mereka, warga-warga Syria itu berbaris dalam mengharungi cuaca sejuk dan hujan di kem yang sangat kotor sambil menantikan khemah diagihkan oleh agensi bantuan. Yang lain dilaporkan tidur di padang dan di jalan raya.

Seorang pegawai Turki berkata penyeberangan itu “dibukakan bagi keadaan kecemasan,” dengan menambah kata tujuh orang tercedera telah dibawa ke hospital Turki untuk mendapatkan rawatan.

Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata Turki ‘terancam’ dan berjanji bahawa “jika perlu, kami terpaksa dan akan membenarkan masuk saudara-saudara kami.”

Sabtu lalu Menteri Luar Mevlut Cavusoglu berkata Turki telah pun menerima 5,000 orang yang lari daripada serangan dan 50,000 hingga 55,000 orang lagi dalam perjalanan mereka. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA