Pelatih PKBN dirai dalam Majlis Khatam Al-Quran

Pelatih PKBN dirai dalam Majlis Khatam Al-Quran

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mac – Para pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) Pengambilan Kelima yang telah berjaya menamatkan pembacaan Al-Quran telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di Masjid Kampung Perpindahan Lambak Kanan, Berakas, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan isteri, Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili.

Menurut kenyataan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Majlis Khatam Al-Quran ini adalah kemuncak kepada pembelajaran kurikulum kerohanian dan keagamaan PKBN yang antara lain bertujuan menanamkan budaya membaca dan menghayati bacaan Al-Quran dalam diri para pelatih PKBN pada usia remaja mereka.

Kejayaan menamatkan pengajian membaca Al-Quran memberi inspirasi kepada pelatih-pelatih PKBN untuk mencipta kecemerlangan dan meneruskan amalan-amalan pengukuhan kekuatan rohani dan benteng daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang agama.

Mesej yang hendak disampaikan dan pengertian majlis ini kepada pelatih-pelatih adalah untuk mereka menguasai segenap bidang ilmu pengetahuan.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa Majlis Khatam Al-Quran pelatih PKBN Pengambilan Kelima di Masjid Kampung Perpindahan Lambak Kanan, Berakas.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa Majlis Khatam Al-Quran pelatih PKBN Pengambilan Kelima di Masjid Kampung Perpindahan Lambak Kanan, Berakas.

Para ibu bapa, penjaga, keluarga para pelatih yang hadir bersyukur dengan kejayaan anak-anak mereka mengikuti komponen keagamaan PKBN yang mengekalkan budaya dalam masyarakat Melayu di mana ilmu pengajian Al-Quran adalah amat ditekankan dalam kehidupan seharian.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh tetamu kehormat dan diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran oleh para pelatih.

Kemudian, majlis diserikan dengan Dikir Syarafil Annam dan acara menabur bunga rampai serta penyampaian sijil-sijil kepada para pelatih oleh tetamu kehormat.

Turut Hadir ialah Setiausaha Tetap di KKBS, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Datin; Timbalan Setiausaha Tetap di KKBS, Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad dan isteri; ketua-ketua jabatan serta para pegawai kanan KKBS, Jawatankuasa Takmir Masjid Perpindahan Lambak Kanan dan ibu bapa serta penjaga para pelatih PKBN pengambilan kelima.

PKBN pengambilan kelima ini memulakan latihan pada 6 Disember 2015 yang lalu dan akan menamatkan latihan pada 14 Mac 2016 (esok).